Dua aksi persahabatan uji kekuatan Malaysian Tigress

Nasihin Nubli - Foto Bernama
Nasihin Nubli - Foto Bernama
A
A
A

KEMAMPUAN skuad The Malaysian Tigress untuk mengharungi Piala Dunia Remaja 2022 di Potchefstroom, Afrika Selatan bermula 1 hingga 12 April ini akan diuji menerusi dua aksi persahabatan bermula Rabu.

Pengendali The Malaysian Tigress, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata, skuad asuhannya akan bertemu Ukraine esok sebelum menentang kelab dari tuan rumah Khamis ini.

"Perlawanan ini amat penting untuk pasukan negara menyesuaikan diri dengan keadaan padang dan cuaca di sana (Afrika Selatan),” katanya menerusi rakaman video dikongsikan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) pada Selasa.

Dalam masa sama, Mohd Nasihin berkata, keserasian antara pemain senior dan junior tidak menjadi masalah, selepas pasukannya mengadakan perlawanan persahabatan bersama skuad lelaki bawah-17 tahun Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini baru-baru ini.

"Saya nampak mereka memberi semangat sesama sendiri, bukan sahaja semasa perlawanan persahabatan, namun ketika sesi latihan dan ia amat positif untuk pasukan,” katanya.

Pada masa sama Mohd Nasihin meminta peminat sukan hoki tanah air memberi semangat dan sokongan padu kepada skuad negara, khususnya pemain muda yang pertama kali beraksi di peringkat dunia

"Mereka akan melakukan yang terbaik dan membawa pulang sesuatu yang positif di sana,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!