Jazeman sasar podium ELMS
PELUMBA negara, Jazeman Jaafar meletakkan sasaran kedudukan podium dalam saingan perlumbaan European Le Mans Series (ELMS) yang akan bermula di Le Castellet, Perancis pada 17 April depan.
Jazeman yang akan membawa cabaran Virage berkata, sasaran tersebut mampu direalisasikan jika sebarang kesilapan yang boleh mengakibatkan kemalangan dapat dibendung dalam siri perlumbaan tersebut.
"Setakat ini pasukan berada dalam keadaan cukup bersedia dan saya akan cuba meraih kedudukan podium daripada perlumbaan awal lagi.
"Apa yang penting, strategi serta persiapan untuk menang itu di landasan yang betul. Ini perlumbaan sangat kompetitif dan jika sebarang kesilapan boleh dapat dielakkan saya rasa tidak mustahil untuk meraih podium," kata pelumba 29 tahun itu selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk membangunkan Program Perantisan Pemindahan Teknologi (TTAP) pada Selasa.
Jazeman yang akan beraksi secara penuh dalam kategori Le Mans Prototype 2 (LMP2) di perlumbaan berkenaan akan bergandingan bersama pelumba Perancis, Gabriel Audry dan pelumba Amerika Syarikat, Rob Hodes bagi siri perlumbaan di lima negara itu.
Selain Perancis, perlumbaan ELMS itu akan turut berlangsung di Itali, Sepanyol, Belgium dan Portugal.
Terdahulu, Persona Energy Sdn Bhd dan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera berkolaborasi dalam pembangunan TTAP iaitu sebuah program pembangunan modal insan yang direka untuk meningkatkan kemahiran automotif serta pengetahuan bakat tempatan melalui perantisan sukan permotoran. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!