Elak dedah diri jadi sasaran ragut
JENAYAH ragut nampaknya semakin menjadi-jadi sehingga membimbangkan majoriti rakyat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Setiap hari ada sahaja kes baharu berkaitan jenayah tersebut dilaporkan berlaku di seluruh negara, sama ada di bandar atau luar bandar.
Terbaharu, seorang wanita warga emas kerugian RM25,000 akibat disamun dua lelaki bersenjatakan parang di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.
Kejadian sekitar jam 9 pagi yang dirakamkan orang awam menerusi video itu menunjukkan suspek meragut rantai dan memotong dua gelang dipakai mangsa.
Bagaimanapun, kedua-dua suspek berjaya ditahan di kediaman masing-masing di Lembah Klang sehari selepas kejadian tersebut.
Kejadian itu nampaknya telah menambah statistik kes ragut yang berlaku tahun ini, sekali gus memberi imej buruk terhadap keselamatan negara.
Lebih teruk, kejadian tersebut juga secara tidak langsung menyebabkan orang ramai berasa gentar dan meragui tahap keselamatan di kawasan kediaman masing-masing.
Jenayah ragut pada dasarnya boleh dibendung sekiranya semua orang mengambil berat tentang keselamatan diri.
Jenayah yang menyasarkan golongan wanita itu juga boleh dielakkan jika mangsa tidak memakai atau mendedahkan barangan berharga dimiliki.
Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya walaupun pihak polis berulang kali memberi nasihat sama ada menerusi akhbar atau kempen keselamatan yang mereka anjurkan.
Kecenderungan mangsa memakai dan mempamerkan barangan berharga secara tidak langsung telah mendedahkan diri mereka sebagai sasaran peragut. Lebih membimbangkan, mangsa juga berpotensi cedera dan kehilangan nyawa sekiranya peragut bertindak agresif.
Justeru, penting bagi setiap rakyat Malaysia menjaga keselamatan masing-masing dan mengelak daripada menjadi mangsa ragut.
Setiap orang tidak boleh lagi memandang ringan nasihat diberikan polis, selain sentiasa berwaspada setiap kali keluar rumah.
Sekiranya semua orang memainkan peranan dan mengambil berat keselamatan diri masing-masing, tidak mustahil statistik berkaitan kes ragut dapat dikurangkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!