DAP tetap parti berdasarkan kaum: Mahdzir
SHAH ALAM - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan bahawa DAP adalah sebuah parti yang berdasarkan kaum dan pemimpin-pemimpin parti itu juga masih berfikir dalam kerangka perkauman.
Jelas beliau, sempena ulang tahun DAP Ke-53 pada 18 Mac lalu, Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Liew Chin Tong, mengeluarkan kenyataan yang mendakwa DAP bukan parti berdasarkan kaum.
Bagaimanapun, Chin Tong pada masa yang sama mengakui ada beberapa pihak dalam DAP yang masih berfikir dalam kerangka kaum dan berharap parti itu menjadi juara untuk orang bukan Melayu.
"Chin Tong juga menyeru pemimpin-pemimpin DAP supaya menjadi penyelesai masalah di kampung, bandar, negeri dan negara, tetapi sebenarnya dalam konteks perpaduan nasional, pemimpin-pemimpin DAP adalah punca dan pencetus masalah.
"Sebenarnya, insiden-insiden membabitkan pemimpin-pemimpin DAP selepas PRU14 membuktikan bahawa bukan hanya beberapa pihak dalam DAP tetapi hampir semua pemimpin DAP yang masih berfikir dalam kerangka kaum," katanya.
Mahdzir berkata, dapat dilihat bahawa antara keutamaan besar pemimpin-pemimpin DAP selepas PRU14 ialah untuk memperjuangkan isu-isu pendidikan Cina seperti mendapatkan pengiktirafan kepada Unified Examination Certificate (UEC).
"Begitu juga dengan usaha membanyakkan sekolah beraliran Cina seperti pengumuman Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, bahawa Kementerian Pendidikan akan mengkaji cadangan untuk membina 26 lagi sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).
"Turut menjadi tumpuan besar pemimpin-pemimpin DAP selepas PRU14 ialah untuk melonjakkan kedudukan sekolah menengah persendirian Cina dan institut pengajian tinggi swasta Cina dengan memberikan mereka dana yang banyak," katanya.
Tambah Mahdzir, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, juga turut melakukan perkara sama dengan menggunakan dana Menteri Kewangan dan perkara itu tidak pernah berlaku dalam sejarah pentadbiran negara apabila Menteri Kewangan memberikan dana kepada sekolah menengah persendirian Cina dan institut pengajian tinggi swasta Cina.
"Tetapi itulah yang berlaku bila Guan Eng memberikan dana RM2 juta setiap satu kepada Kolej Universiti New Era di Selangor, Kolej Universiti Selatan di Johor dan Kolej Universiti Han Chiang di Pulau Pinang.
"Terbaru, di Stadium Merdeka semalam Guan Eng turut menggunakan dana Menteri Kewangan untuk diberikan kepada SJK (C) Chong Hwa di Setapak, SMJK Chong Hwa di Gombak dan Sekolah Menengah Persendirian Cina Chong Hwa di Jalan Ipoh," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!