Rakyat kurang mampu boleh rayu kurangkan premium tanah
KOTA BHARU - Kerajaan negeri telah melaksanakan pengurangan premium tanah kepada golongan kurang berkemampuan melalui kaedah rayuan sekiranya mereka tidak mampu untuk melunaskan bayaran tersebut.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, rayuan tersebut boleh dikemukakan kepada Ketua Jajahan masing-masing untuk diangkat kepada pihak berkuasa negeri.
"Pihak berkuasa negeri akan membuat pertimbangan berpandukan kepada asas dikemukakan oleh Ketua Jajahan," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan Abdul Aziz Yusoff (BN-Nenggiri) berhubung adakah kerajaan bercadang mengurangkan bayaran premium dan hasil khususnya kepada golongan rakyat miskin di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Rabu.
Menurutnya, selepas itu jumlah potongan sama ada 30, 20 atau mengikut peratus-peratus tertentu.
Beliau berkata, bagaimanapun cukai hasil tanah tertakluk kepada pindaan melalui Kanun Tanah Negara.
Ahmad berkata, pindaan boleh dibuat selama 10 tahun sekali dan kerajaan negeri sudah membuat pindaan pada tahun 2016.
"Kita akan ambil maklumat untuk 2026 dan bolehlah kemukakan kepada kerajaan untuk naik atau turun cukai tanah," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!