MPP UiTM desak siasatan, tindakan terhadap pensyarah
SHAH ALAM – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Se-Malaysia menyelar tindakan seorang pensyarah terhadap pelajarnya sebagaimana dalam video tular pada Rabu.
Yang Dipertuanya, Rasydan Mohd Hassan berkata, video yang tular membabitkan seorang pensyarah UiTM itu disifatkan tindakan luar norma dan tidak beretika terhadap seorang mahasiswa.
“Sejarah UiTM dibina untuk membantu mahasiswa Melayu dan bumiputera untuk mendapatkan pendidikan diperingkat tertinggi.
“Kenyataan menghina dan memperlekeh golongan B40 adalah tidak wajar dibuat oleh mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, laman Facebook rasmi milik UiTM menjadi sasaran warga maya melepaskan kemarahan susulan tular rakaman pensyarah yang didakwa menghina pelajar golongan B40.
Rasydan turut mendesak seluruh keluarga MPP UiTM dan pengurusan tertinggi universiti membuat siasatan dan mengambil tindakan kerana pensyarah tersebut telah merosakkan imej universiti.
“Pensyarah itu perlu memahami keadaan negara yang berdepan situasi pandemik yang menyebabkan semua rakyat Malaysia menghadapi keadaan ekonomi tidak stabil,” katanya.
Tambahnya lagi, manifestasi yang sering disuarakan oleh pihak pengurusan bahawa mahasiswa adalah tonggak universiti perlu dizahirkan dengan mengambil tindakan tegas kepada pensyarah tersebut dan kepada sesiapa yang berkelakukan yang sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!