PLSB Sungai Golok gagal berfungsi punca banjir di Kelantan

Keadaan jalan masuk ke Zon Bebas Cukai Rantau Panjang ditenggelami banjir pada Januari tahun lalu. (Gambar kecil: Mohideen)
Keadaan jalan masuk ke Zon Bebas Cukai Rantau Panjang ditenggelami banjir pada Januari tahun lalu. (Gambar kecil: Mohideen)
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa kejadian banjir besar yang melanda beberapa buah kampung di daerah Rantau Panjang, Kelantan berpunca daripada projek tebatan banjir yang gagal berfungsi dengan berkesan.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, sejak projek Fasa Satu Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok dibina, sudah dua kali banjir besar melanda lima buah kampung di kawasan terbabit.

Menurutnya, antara kawasan yang terjejas ialah Kampung Tersang, Kampung Gual To’ Deh, Kampung Gual Periok, Kampung Padang Licin dan Kampung Kusar.

"CAP merasa hairan bagaimana projek yang bermatlamat untuk mengatasi masalah banjir di kawasan berkenaan berlaku sebaliknya sehingga mengancam kehidupan penduduk tempatan.

"Masalah ini didakwa berlaku berpunca daripada projek tebatan banjir yang dibina sejauh 30 kilometer dari Tok Uban ke Lancang itu tidak mempunyai pintu air kecemasan.

"Akibatnya bila hujan lebat, air tidak dapat mengalir ke Sungai Golok dan melimpah masuk ke kampung tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohideen berkata, akibat kejadian itu banyak harta benda penduduk yang terlibat telah musnah manakala beberapa kawasan yang sebelum ini tidak pernah berlaku banjir turut dilanda bencana itu.

Beliau berkata, baru-baru ini seramai 150 penduduk sekitar Rantau Panjang telah mengadakan protes membantah kejadian yang berlaku.

Artikel Berkaitan:

"CAP yang bersimpati dengan penduduk di sini menggesa kerajaan Kelantan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah tersebut dan berharap kejadian seumpama ini tidak berulang.

"Kita percaya jika keadaan ini berlarutan kehidupan penduduk-penduduk di kawasan itu akan terancam dengan lebih teruk lagi pada masa akan datang," katanya.

Mengulas lanjut, Mohideen berpendapat adalah perlu bagi pihak kerajaan berbincang dengan penduduk tempatan terlebih dahulu bagi mendapatkan pandangan mereka terhadap sesuatu projek yang dirancang.

Tambahnya, CAP juga mencadangkan supaya kerajaan Kelantan membayar pampasan kepada penduduk yang mengalami kerugian akibat kerosakan harta benda kerana masalah ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!