Pahang rangka acara bertaraf antarabangsa tarik pelancong

Mohd Sharkar
Mohd Sharkar
A
A
A

KUANTAN - Pahang merangka pelbagai acara bertaraf antarabangsa bagi memulihkan industri pelancongan negeri sekali gus menarik lebih ramai pelancong melalui tema baharu 'This is Pahang 2022 – Unlimited' sepanjang tahun ini.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, kepelbagaian acara yang akan dilaksanakan mampu menyasarkan bilangan pelancongan sehingga tujuh juta ke negeri ini.

Menurutnya, separuh daripada angka berkenaan dijangka tertumpu di pusat peranginan Genting Highlands.

“Antara acara pelancongan peringkat antarabangsa yang akan diadakan seperti 'Ocean Canoe International Challenge' iaitu acara sukan air bertaraf dunia yang diadakan di jajaran pesisiran pantai sepanjang 240 kilometer.

“Terdapat juga program Pahang Hiking Day yang dilancarkan pada 20 Mac lalu yang mempromosikan lokasi pendakian di setiap daerah sekali gus membantu menjana ekonomi pengusaha hotel dan resort serta penduduk setempat.

“Melalui aktiviti ini juga kita telah dapat mengenalpasti 79 bukit dan gunung yang boleh dijadikan destinasi tarikan pelancongan selain lebih 2,000 sungai yang terdapat di bukit serta gunung yang sesuai untuk aktiviti rekreasi,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan Lee Ah Wong (BN- Cheka) yang ingin mengetahui usaha kerajaan Pahang untuk memulihkan industri pelancongan di Pahang tahun ini melalui tema 'This Is Pahang 2022-Unlimited' yang telah dilancarkan pada 17 Januari lalu.

Selain itu, Mohd Sharkar turut menjawab soalan tambahan dari Leong Yu Man (PH-Triang) berhubung status Tasik Bera yang kini sudah berada dalam status dinaik taraf.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau mengakui kekangan yang dihadapi di lokasi terbabit adalah tempat penginapan dan pihaknya sedang berusaha memastikan kemudahan itu mengcukupi.

“Kita tahu sekarang ini Bera adalah Parlimen yang bertuah kerana di situ ada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Kita akan lihat apa yang diperlukan dan laksanakan apa yang patut," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!