Dua anggota polis direman dituduh ambil suapan RM300

Kedua-dua anggota polis direman bagi membantu siasatan SPRM berhubung kes meminta suapan dari seorang juru kimpal.
Kedua-dua anggota polis direman bagi membantu siasatan SPRM berhubung kes meminta suapan dari seorang juru kimpal.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Dua anggota polis direman di Mahkamah Majistret Sungai Petani bagi membantu siasatan kes meminta rasuah sebanyak RM300 daripada seorang juru kimpal, minggu lalu.

Kedua-dua anggota berpangkat koperal masing-masing berusia 38 dan 45 tahun itu direman bermula Rabu bagi membantu siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Permohonan reman dibenarkan Majistret Nadhirah Abdul Rahim dan mereka ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Sungai Petani ketika hadir memberi keterangan pada Selasa.

Difahamkan, mereka didakwa menerima suapan sebanyak RM300 bagi tujuan tidak mengambil tindakan ke atas juru kimpal tersebut atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu dan cukai jalan kenderaan tamat tempoh.

Perbuatan itu dilaporkan berlaku ketika pemeriksaan ke atas kenderaan yang dipandu mangsa berdekatan Sekolah Vokasional Sungai Petani, 20 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua anggota yang bertugas Unit MPV di ibu pejabat polis daerah berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap memberitahu, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!