BNM bekerjasama dengan MOF, SC gubal Akta Kredit Pengguna
KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) sedang bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk menggubal Akta Kredit Pengguna pada 2022 bagi mengukuhkan pengaturan kawal selia untuk semua aktiviti kredit pengguna termasuk skim ‘Beli Sekarang Bayar Kemudian’ (BNPL).
BNM dalam Laporan Tahunan 2021 yang dikeluarkan pada Rabu memaklumkan, pada masa ini, skim BNPL ditawarkan oleh pengendali bukan bank tidak tertakluk di bawah pengawalseliaan BNM atau mana-mana agensi kawal selia,
"Bagi mengurangkan lagi risiko skim BNPL dalam menggalakkan pengguna berbelanja melebihi kemampuan mereka, BNM turut bekerjasama dengan Jaringan Pendidikan Kewangan untuk mendidik orang ramai tentang risiko menggunakan skim BNPL," kata bank pusat itu.
Katanya, skim BNPL yang ditawarkan secara terus oleh atau secara kerjasama dengan institusi perbankan, institusi perbankan tersebut dikehendaki melaksanakan amalan yang konsisten dengan keperluan berkenaan pemberian pinjaman yang bertanggungjawab.
BNPL membolehkan pelanggan membuat pembayaran secara ansuran tanpa faedah, bagaimanapun, skim ini terdapat caj lain yang boleh dikenakan kepada pelanggan seperti fi pemprosesan dan fi pembayaran lewat.
Dalam sesetengah kes, jumlah caj yang dikenakan oleh penyedia BNPL kepada pelanggan mungkin lebih tinggi berbanding dengan jumlah faedah dan caj yang dikenakan oleh pemberi pinjaman konvensional.
Oleh itu, BNM mencadangkan peminjam untuk memahami terma dan syarat terutamanya mengenai yuran dan caj sebelum menggunakan skim BNPL.
"Peminjam perlu membayar ansuran penuh dan tepat pada masanya bagi mengelakkan penalti dan memantau komitmen BNPL anda bagi mengelakkan terlebih berbelanja," kata BNM. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!