Kelantan masih belum terima royalti minyak
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan mengesahkan mereka masih belum menerima sebarang bayaran berkait dengan royalti petroleum yang merupakan hasil masyhur di negeri ini.
Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pada masa ini kerajaan negeri hanya menerima bantuan wang ihsan
"Royalti ini ada definisinya yang tersendiri, dibayar sebanyak dua kali setahun. Jumlahnya adalah lima peratus daripada pengeluaran hasil (petroleum) dan mesti dibayar.
"Adapun wang ihsan yang diterima ini tidak diketahui jumlah sepatutnya. Kerajaan negeri hanya terima apa yang diberikan. Kadang-kadang lebih, ada kalanya kurang," katanya ketika ditemui selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Rabu.
Menurutnya, kerajaan negeri bagaimanapun tetap mahukan royalti dan jumlah yang dibayar perlu mengikut perjanjian sebanyak lima peratus.
Beliau berkata, ekoran itulah kerajaan negeri mewujudkan jawatankuasa khas mengkaji tuntutan royalti untuk melihat kembali peruntukan undang-undang.
Mohamed Fadzli berkata, hal ini bagi membolehkan kerajaan negeri bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengemukakan maklumat lengkap mengapa Kelantan layak terima royalti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!