TELUK INTAN - Seorang guru sekolah menengah didakwa di Mahkamah Seksyen di sini, hari ini atas empat pertuduhan merogol seorang pelajar perempuan tingkatan dua tahun lalu. Tertuduh Ahmad Murad Zainal, 30, berasal dari Sungai Sumun, Bagan Datuk, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani. Mengikut kertas pertuduhan, Ahmad Murad didakwa merogol pelajar perempuan yang ketika itu berusia 14 tahun di sebuah rumah di Taman Mewah, Hutan Melintang, antara awal Oktober hingga hujung November 2018. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat. Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azimah Che Ismail tidak mencadangkan jaminan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius. Hakim kemudiannya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 22 April nanti untuk sebutan semula kes.