Rafizi batu api nak lagakan Muhyiddin, Najib: Mohd Sharkar

Wan Rosdy (tiga dari kiri) sempena Majlis Pelancaran Pendaftaran Ahli UMNO di Hotel Shahzan, Kuantan pada Rabu.
Wan Rosdy (tiga dari kiri) sempena Majlis Pelancaran Pendaftaran Ahli UMNO di Hotel Shahzan, Kuantan pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Bekas Ahli Parlimen Ampang, Rafizi Ramli disifatkan sebagai batu api apabila mengeluarkan komen kononnya Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih popular berbanding bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berpandangan, tindakan Rafizi itu hanya sebahagian daripada strategi untuk melaga-lagakan Muhyiddin dan Najib.

"Rafizi ini batu api kerana mahu melihat Najib dan Muhyiddin bergaduh. Ini adalah strategi biasa yang dia lakukan.

"Ada sebabnya iaitu mahu melaga-lagakan. Namun itu hak dia untuk beri komen dan komen itu sebenarnya hendak cuba wujudkan pergeseran untuk kelihatan hebat serta meriah," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Pendaftaran Ahli UMNO di Kuantan, pada Rabu.

Majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Pada 27 Mac lalu, Rafizi melancarkan kempen 'Ayuh Malaysia' di ibu negara dan mendakwa populariti Najib banyak dipengaruhi kempen 'Bossku' serta penguasaan di media sosial, namun ia masih gagal mengatasi populariti Muhyiddin.

Sementara itu, mengenai kemungkinan parti itu menggunakan aura 'Bossku' dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) selepas kejayaan pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor, Wan Rosdy berkata, kejayaan diperoleh adalah hasil kerjasama semua pihak.

"Kita analogikan sebagai peperangan. Untuk memenangi sesuatu peperangan, tidak mungkin 'one man show', cuma 'pemberat' itu lebih sikitlah. Kejayaan yang diperoleh pada PRN adalah hasil kerjasama semua pihak.

Artikel Berkaitan:

"Datuk Seri Najib, Pengerusi Barisan Nasional Johor, Datuk Seri Hasni Mohamad (PRN Johor), kemudian Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali ketika PRN Melaka memainkan peranan masing-masing. Semuanya memainkan peranan masing-masing dan ia adalah kerja satu pasukan," katanya.

Menyentuh mengenai pelancaran ahli UMNO pula, Wan Rosdy berkata, pelancaran itu merupakan salah satu pendekatan diambil bagi mengukuhkan UMNO di Pahang.

“Fokus bagi memastikan mereka menjadi ahli UMNO. Didapati ada di antara mereka yang rapat dengan kita (UMNO) masih belum menjadi ahli," ujar beliau.

Tambah Wan Rosdy, justeru UMNO fokus kepada sasaran itu dan meminta supaya semua ahli-ahli atau Pengerusi Biro Keahlian memberi tumpuan kepada perkara tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!