Funikular Bukit Bendera ditutup 1 Julai
GEORGETOWN - Perkhidmatan funikular Bukit Bendera Pulau Pinang akan ditutup sementara untuk penyelenggaraan tahunan berjadual kali kedua selama lima hari.
Perkhidmatan itu akan ditutup bermula dari 1 Julai hingga 5 Julai ini, dan akan beroperasi semula pada 6 Julai.
Dalam satu kenyataannya hari ini, Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang berkata, penyelenggaraan berjadual akan dijalankan di bawah pengawasan syarikat pengeluar funikular, Garaventa AG dari Switzerland.
Ia bagi memastikan sistem penggera sentiasa berada dalam keadaan terbaik dan menjalani pemeriksaan keselamatan yang ketat.
"Pengunjung boleh memilih untuk menggunakan perkhidmatan jip yang dikendalikan oleh syarikat persendirian dari Taman Botani atau menggunakan laluan mendaki untuk sampai ke puncak Bukit Bendera semasa tempoh penutupan.
"Perbadanan Bukit Bendera mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung di atas kesabaran dan sokongan berterusan mereka kepada Bukit Bendera.
"Maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi," katanya.
Kepada pengunjung yang mempunyai pertanyaan, mereka boleh menghubungi Perbadanan Bukit Bendera di talian 04-828 8880 atau email kepada inquiries@penanghill.gov.my.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!