Anggota polis Kelantan pantau SOP di masjid, surau

 Shafien
Shafien
A
A
A

PASIR MAS - Pegawai Perhubungan Masjid dalam kalangan anggota polis akan ditempatkan di masjid dan surau terpilih di Kelantan bagi memantau jemaah yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sepanjang Ramadan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, walaupun kelonggaran telah diberikan termasuk pelaksanaan solat tanpa penjarakan fizikal dan solat tarawih serta jualan di bazar Ramadan mulai 1 April ini, pematuhan terhadap SOP perlu diteruskan.

"Kami telah mengarahkan ketua balai polis dan ketua polis daerah untuk bersama-sama masyarakat dalam mengimarahkan masjid pada Ramadan kali ini dan pada masa yang sama memantau keadaan semasa.

"Walaupun pelaksanaan solat tarawih dan solat fardu diberi kebenaran tanpa jarak fizikal selepas ini, pematuhan SOP lain seperti memakai pelitup muka masih perlu dipatuhi supaya dapat mengekang penularan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan Istiadat Penghargaan Pingat Jasa Pahlawan Negara Peringkat Kontinjen Kelantan, yang berlangsung di Dewan Ketua Polis Negara (KPN) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini pada Rabu.

Seramai 280 penerima termasuk 80 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang masih bertugas dan sudah bersara diraikan dalam majlis penganugerahan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!