Buat laporan palsu elak bayar denda JPN

JPN mengenakan bayaran RM110 untuk kehilangan kali pertama, RM310 kali kedua dan RM1,010 untuk kali ketiga serta seterusnya. Gambar kecil: Nanda
JPN mengenakan bayaran RM110 untuk kehilangan kali pertama, RM310 kali kedua dan RM1,010 untuk kali ketiga serta seterusnya. Gambar kecil: Nanda
A
A
A

SEREMBAN - Tidak mahu didenda oleh Jabatan Pendaftaran Negara(JPN) kerana kehilangan kad pengenalan menyebabkan ada yang membuat laporan polis palsu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, sebanyak 151 kes laporan polis palsu telah diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban berdasarkan statistik sejak 2020 hingga Mac tahun ini.

"Sebanyak 84 laporan polis palsu diterima pada 2020 manakala 58 lagi pada 2021 dan sembilan laporan sehingga 15 Mac lalu.

"Siasatan lanjut dijalankan mendapati, individu yang membuat laporan palsu semata-mata tidak mahu didenda oleh JPN untuk memperbaharui kad pengenalan yang dikenakan bayaran RM110 untuk kehilangan kali pertama, RM310 kali kedua dan RM1,010 untuk kali ketiga dan seterusnya," katanya dalam kenyataan kepada media pada Selasa.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 29 individu telah dituduh di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, pihak polis memandang serius perkara tersebut kerana membuat laporan polis palsu telah membazirkan masa dan tenaga pegawai penyiasat selain membazir wang kerajaan semata-mata hendak menyiasat kes yang tidak wujud.

"Orang ramai dinasihatkan supaya menjaga dokumen pengenalan diri dengan sebaiknya dan tidak membuat laporan polis palsu kerana mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

"Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel Berkaitan: