Terengganu siasat dakwaan jual tanah kerajaan di Pulau Redang
KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri akan melakukan siasatan berhubung dakwaan berlaku penjualan tanah milik kerajaan di Pulau Redang sebagaimana tular di media sosial.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, siasatan itu perlu bagi mendapatkan gambaran sebenar tentang dakwaan berkenaan apatah lagi ia melibatkan jawatan menteri besar.
"Sudah tentu (akan siasat) sebab kita pun ingin tahu keadaan sebenar bagaimana. Jarang kerajaan jual tanah, kalau individu jual tanah itu perkara biasa," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Tahun Semarak Dakwah Negeri Terengganu di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini pada Rabu.
Ahmad Samsuri berkata, dia tidak tahu bagaimana isu penjualan tanah itu boleh timbul, namun pihak yang dituduh berhak untuk mengambil apa jua tindakan termasuk membuat laporan polis.
Bagaimanapun, katanya, buat masa ini kerajaan negeri belum memeriksa rekod pemilikan tanah di pulau peranginan berkenaan memandangkan perkara itu dalam siasatan polis.
"Kita boleh periksa rekod milikan tanah tetapi kita tidak berbuat demikian lagi kerana difahamkan laporan polis sudah dibuat dan biar pihak berkenaan buat siasatan," katanya.
Sebelum ini, seorang individu di laman sosial Facebook mendakwa bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menyerahkan tanah di Pulau Redang kepada seorang jutawan perniagaan terkenal.
Bagaimanapun, Ahmad Said menafikan menjual tanah milik kerajaan di kawasan tersebut dan turut mengesahkan tidak pernah berjumpa dengan jutawan berkenaan sepanjang zaman pentadbirannya lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!