Saya mahu dia tarik balik kenyataan tersebut: Young Syefura
KUANTAN - Beberapa wakil rakyat pembangkang mendesak Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi negeri, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abdul Razak supaya menarik semula dakwaan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman berbohong ketika sesi membahaskan usul di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu.
ADUN Bilut, Lee Chin Chen berkata, tuduhan wakil daripada kerajaan itu dianggap satu sangkaan jahat terhadap Young Syefura berdasarkan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Undangan Negeri dalam Peraturan Berbahas.
Menurutnya, dalam Peraturan-peraturan Berbahas 36 (6) menjelaskan seseorang ahli dewan tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat kepada ahli lain.
"Jadi, saya menggunakan perintah tetap (standing order) ini dan saya harap Speaker boleh mengarahkan Mohd Soffi (ADUN Benta) menarik balik perkataan ini.
“Sekiranya Speaker tiada mengarahkan YB Benta tarik balik perkataan ini, kami barisan pembangkang Pakatan Harapan (PH) akan menulis satu surat kepada Speaker untuk menyatakan rasa tidak berpuas hati kerana tidak membuat keputusan berhubung isu terbabit,” katanya ketika mengadakan sidang akhbar di pekarangan Wisma Sri Pahang.
Turut hadir ADUN Semambu, Lee Chean Chung; ADUN Teruntum, Sim Chon Siang, ADUN Sabai, Kamache Doray Rajoo dan ADUN Tras, Chow Yu Hui.
Pada sesi perbahasan yang berlangsung pada hari ketiga itu, Mohd Soffi mendakwa Young Shefura berbohong kerana salah faham terhadap kenyataan yang dinyatakan oleh ADUN Ketari itu.
Dalam pada itu, Young Syefura menepis dakwaan Mohd Soffi berhubung dakwaan bahawa dirinya berbohong.
“Apa yang telah dikatakan oleh ADUN Benta tadi bahawa saya berbohong ini adalah tidak tepat sekali.
"Saya mahu dia tarik balik kenyataan tersebut kerana ia seperti meletakkan diri saya dalam keadaan yang bersalah,” katanya.
Beliau menjelaskan semua pemimpin pembangkang tidak dilibatkan di dalam mesyuarat jawatankuasa tindakan daerah bagi membolehkan perkongsian perancangan, isu semasa dan sebagainya daripada pihak kerajaan.
"Namun begitu, ADUN Benta salah faham dan mengatakan bahawa saya tidak mendapatkan sebarang info (maklumat) dan mengatakan saya berbohong.
“Ingin saya nyatakan di sini, segala info mengenai isu-isu di kawasan banjir khususnya yang berlaku sebelum ini dan sebagainya, kami mencari, kami bertanya dan kalau kami senyap, kami tidak akan dapat apa-apa.
“Sebab itulah saya sering katakan bahawa penglibatan kami di dalam mesyuarat jawatankasa tindakan daerah atau pun mesyuarat di Majlis Perbandaran Bentong adalah sangat penting untuk kami berbincang isu-isu semasa, bertukar idea dan mengambil tahu apa peranan kerajaan negeri,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!