Tun Mahathir tidak setuju cadangan eksport ketum
LANGKAWI - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan cadangan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk mengeksport ketum secara sah ke negara Thailand.
Dr Mahathir menyatakan pandangan eksport ketum tidak perlu dilaksanakan memandangkan ia dilihat mendatangkan lebih banyak keburukan.
"Semua ini dilarang. Pasal apa dilarang kerana apabila kita makan semua ini kita buat benda yang tidak patut kita buat. Sebab kita tidak boleh kawal dah kerana dia mempengaruhi fikiran kita.
"Tengok orang mabuk, macam bukan manusia dah. Kalau ketum itu menjadikan orang mabuk, kita jangan meniaga ketum. Macam mana, kita tidak boleh niaga arak, kita tidak boleh meniaga ketum," katanya.
Dr Mahathir berkata demikian pada sidang media media selepas menyampaikan sumbangan bakul Ramadan di Masjid Al-Naim, Makam Mahsuri, Langkawi, di sini, pada Rabu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi menegaskan sesuatu perkara haram untuk dilakukan maka ia adalah dilarang untuk dilaksanakan.
Tambah beliau, pengambilan ubatan berasaskan daun ketum melebihi had ditetapkan juga dikhuatiri memberi kesan buruk kepada manusia seperti menjejaskan kesihatan.
Sehubungan itu, Dr Mahathir meminta pihak terbabit mencadangkan idea lain untuk meningkatkan pendapatan berbanding cadangan eksport daun ketum.
"Banyak benda atau tumbuh-tumbuhan lain, yang boleh kita tanam.Dia tumbuh,kita dapat duit," katanya.
Sebelum ini, kerajaan Persekutuan dicadang memberi kebenaran kepada Kedah bagi mengeksport ketum secara sah ke Thailand.
Dalam perkembangan lain, beliau menasihatkan penduduk di Langkawi tidak menjual tanah mereka semata-mata ingin mendapatkan hasil dengan mudah.
"Banyak orang kita ini, dia ada tanah tetapi dia tidak dapat hasil daripada tanah. Datang orang nak beli, dia jual tanah. Lepas itu, dia dapat duit dia belanja. Bila tidak ada tanah, tidak ada modal lah," katanya.
Dr Mahathir menasihatkan penduduk tersebut mengusahakan tanah mereka seperti mengusahakan tanaman, membela haiwan ternakan atau membina kolam ikan untuk menjana pendapatan bagi menyara keluarga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!