Dua lelaki diberkas terlibat aktiviti melombong bitcoin

Mohd Azhar (kiri) dalam sidang akhbar di IPD Temerloh pada Rabu susulan polis memberkas dua lelaki dan menumpaskan kegiatan bitcoin di Temerloh.
Mohd Azhar (kiri) dalam sidang akhbar di IPD Temerloh pada Rabu susulan polis memberkas dua lelaki dan menumpaskan kegiatan bitcoin di Temerloh.
A
A
A

TEMERLOH - Kegiatan dua lelaki menjalankan aktiviti perlombongan wang digital (bitcoin) secara haram di Temerloh tumpas susulan polis menyerbu sebuah premis di kawasan Star City dekat Mentakab, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, dua lelaki tempatan berusia 30 dan 38 tahun itu diberkas dalam serbuan ke atas premis tersebut yang dilakukan polis kira-kira jam 8 malam.

"Dalam serbuan tersebut polis berjaya merampas barangan bernilai kira-kira RM420,000 dan nilai kerugian ditanggung TNB pula dianggarkan kira-kira RM125,000 akibat kegiatan tersebut.

"Antara barangan dirampas terdiri daripada 82 unit mesin perlombongan Bitcoin, sebuah set komputer iaitu CPU jenama Dan, sebuah monitor komputer jenama Lenovo, satu papan kekunci, satu tetikus beserta wayar, dua unit telefon bimbit jenama Huawei dan Samsung," katanya dalam sidang akhbar di IPD Temerloh, pada Rabu.

Menurut Mohd Azhar, kedua-dua suspek dipercayai aktif menjalankan kegiatan tersebut selama tiga bulan dan tangkapan dua lelaki itu adalah kes pertama dicatatkan tahun ini.

"Kedua-dua suspek direman empat hari hingga 2 April ini untuk siasatan lanjut," katanya.

Sebelum itu beliau memaklumkan, serbuan disertai sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh serta Cawangan D4, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dengan bantuan juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) Zon Timur.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!