Tiada sekatan aktiviti individu belum terima dos penggalak

Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Penerima vaksin Sinovac dan Sinopharm berusia 18 tahun ke atas serta penerima semua jenis vaksin dos primer berusia 60 tahun ke atas yang tidak mengambil dos penggalak masih boleh melakukan aktiviti-aktiviti yang dibenarkan biarpun tarikh untuk mengambil suntikan penggalak berakhir pada Khamis.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pemilik premis perlu memastikan hanya pelanggan atau pengunjung yang telah melengkapkan sekurang-kurangnya vaksinasi dos primer dibenarkan masuk ke premis perniagaan, rumah ibadat dan lain-lain yang berkenaan.

"Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, kumpulan individu berikut akan kehilangan status vaksinasi lengkap dalam aplikasi MySejahtera mereka sekiranya masih belum menerima dos penggalak bermula 1 April namun maklumat sejarah vaksin primer dikekalkan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, seseorang individu itu diiktiraf lengkap vaksinasi dos primer apabila telah memenuhi kriteria-kriteria ditetapkan.

"Bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan iaitu Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac, individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua.

"Bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan iaitu Johnson & Johnson dan CanSino, individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan," katanya.

Khairy berkata, pengembara dari luar negara yang akan memasuki Malaysia perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Hanya pengembara yang telah menerima vaksinasi lengkap iaitu lengkap vaksinasi dos primer dan dos penggalak dibenarkan memasuki premis-premis tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, SOP terbaharu itu bagaimanapun bukan bermaksud penerima vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas serta penerima semua jenis vaksin berusia 60 tahun dan ke atas tidak perlu mendapatkan dos penggalak.

"Data penilaian yang dijalankan dalam kalangan penerima vaksin di Malaysia mendapati tahap perlindungan terhadap jangkitan Covid-19 menurun sehingga 20 peratus bagi dua dos vaksin Pfizer dan 48 peratus bagi dua dos vaksin Sinovac dalam tempoh 3 hingga 5 bulan selepas vaksinasi primer," katanya.

Tegas Khairy, pengambilan dos penggalak akan meningkatkan semula paras antibodi dalam tubuh, seterusnya boleh mengurangkan risiko gejala teruk akibat jangkitan Covid-19.

"KKM ingin menasihatkan dan menggalakkan individu yang belum menerima dos penggalak supaya mendapatkannya dengan segera," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!