Polisi perlindungan insurans Covid-19 bagi pengembara AS$20,000

Khairy - Foto Bernama
Khairy - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan Malaysia menetapkan kadar minimum polisi perlindungan insurans dan Covid-19 bagi pengembara yang memasuki negara ini adalah AS$20,000 selaras protokol am yang perlu dipatuhi.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, salah satu daripada protokol tersebut melibatkan keperluan pengembara sebelum berlepas ke Malaysia untuk mengisytiharkan melalui aplikasi MySejahtera bahawa mereka memiliki polisi perlindungan tersebut.

"Keperluan ini adalah terpakai ke atas pengembara warganegara asing yang memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan (Sosial) Jangka Pendek, tanpa mengira status vaksinasi Covid-19 mereka," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, perlindungan insurans tersebut antara lain adalah bagi menanggung kos kuarantin, rawatan dan kemasukan ke hospital, sekiranya mereka dijangkiti Covid-19 semasa berada di Malaysia.

"Bagaimanapun, perlindungan insurans tersebut dikecualikan ke atas warga Singapura atau Malaysia, Penduduk Tetap Singapura atau Malaysia, Pemegang Pas Jangka Panjang di Singapura atau Malaysia dan terpakai bagi pengembara yang memasuki Malaysia dari Singapura dengan menggunakan laluan udara, darat serta laut," katanya.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil maklum ketetapan terkini oleh kerajaan Republik Singapura berhubung insurans Covid-19 dan pengembaraan bermula 1 April serta atas dasar timbal balas khususnya pengembara yang telah lengkap vaksinasi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!