Bapa 'Baby Syifaa' bagi masa dua minggu
SEREMBAN - Bapa kepada seorang bayi perempuan berusia 15 bulan yang meninggal dunia di pusat jagaan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan, 22 Februari lalu memberi tempoh dua minggu kepada pihak polis untuk mengemukakan hasil siasatan selanjutnya.
Yuseri Yusoff, 39, berkata, mahu keadilan kepada Allahyarham anaknya kerana selepas 37 hari kematiannya masih belum ada sebarang pendakwaan dibuat termasuk individu direman.
"Polis berjanji satu siasatan yang adil akan dilakukan di mana individu bertanggungjawab akan dibawa kepada pihak pendakwaan.
"Kami hanya ingin jernihkan keadaan dan lebih kepada mahu menuntut pembelaan. Saya telah berbincang dengan peguam pemerhati dan kami bagi masa dua minggu kepada polis (untuk kemukakan siasatan)," katanya ketika ditemui di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Seremban di sini pada Rabu.
Beliau sebelum itu hadir ke IPD bersama dua peguam pemerhati iaitu Muhammad Amin Anuar dan Musfira Mohd Fahmi bagi memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuatnya pada 28 Mac lalu di IPD Sentul.
Yuseri dimaklumkan kertas siasatan kes telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara namun belum pasti pertuduhan akan dibuat mengikut seksyen apa.
Sementara itu Muhammad Amin berkata, kebiasaannya dalam mana-mana kes, sebaik saja laporan polis dibuat, akan ada yang individu ditahan reman untuk siasatan lanjut.
Bagaimana pun katanya, berbeza dengan kes 'Baby Syifaa' kerana sehingga kini tiada sebarang pendakwaan dibuat dan ia menimbulkan keraguan kepada keluarga.
"Kita bersetuju beri ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan dan jika tiada sebarang perkembangan selepas tempoh dua minggu, kita akan ambil tindakan selanjutnya berlandaskan undang-undang.
"Kita menghormati polis dan sistem keadilan. Cuma tertanya-tanya kenapa kes ini yang mempunyai bukti berdasarkan pandangan dan nasihat daripada pakar-pakar forensik berhubung kematiannya tiada nampak perkembangan selanjutnya, seolah-olah ada kelompangan," katanya.
Sehubungan itu katanya, jika tiada perkembangan lanjut, pihaknya akan mengemukakan cadangan supaya inkues diadakan termasuk melakukan autopsi semula kepada mayat anak guamnya.
"Saya berharap anak guam saya dapat keadilan dan sekurang-kurangnya ada pendakwaan dibuat," katanya.
Sebelum ini Yuseri menerusi laman Facebook miliknya mendakwa bayinya dijerut bukannya terjerut serta berkongsi #Justice4BabySyifaa.
Sinar Harian melaporkan, Nour Rania Asyifaa Yuseri ditemui tidak sedarkan diri pada pukul 3 petang di dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, berdasarkan siasatan awal, sebelum itu mangsa telah diberi susu oleh pengasuh dan dimasukkan ke dalam bilik tidur bersama dua kanak-kanak lain pada pukul 12.30 tengah hari.
"Mangsa ditidurkan dalam buaian dan dua kanak-kanak lain ditidurkan dalam buaian jenis 'rocker'.
"Selepas itu pengasuh keluar dari bilik pada pukul 2 petang untuk melakukan tugas-tugas lain," katanya.
Menurutnya, pada pukul 3 petang, pengasuh masuk semula ke dalam bilik dan mendapati mangsa dengan keadaan kepala tersangkut pada kain buaian.
Jelasnya, pengasuh kemudian telah melakukan bantuan kecemasan kepada bayi terbabit namun mangsa didapati tidak bernafas.
"Dia kemudian telah membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Sendayan untuk pemeriksaan lanjut namun doktor yang merawat mengesahkan bayi itu telah meninggal dunia pada pukul 4.30 petang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!