SKM sasar pendaftaran 1,000 koperasi tahun ini

Dari kiri: Rozdeen dan Siti Azlin di Program Sinergi SKM Cawangan Selangor Bersama Media di Kafe The Cups, Coffee dan Kitchen di sini pada Rabu.
Dari kiri: Rozdeen dan Siti Azlin di Program Sinergi SKM Cawangan Selangor Bersama Media di Kafe The Cups, Coffee dan Kitchen di sini pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyasarkan pendaftaran dan pembukaan 1,000 koperasi di seluruh Malaysia pada tahun ini.

Naib Pengerusi Eksekutif (Pengurusan) SKM, Siti Azlin Ahmad Dauta berkata, sebanyak 14,629 koperasi dibuka di seluruh Malaysia setakat Disember tahun lalu.

Bagaimanapun beliau berkata, jumlah tersebut tidak termasuk koperasi-koperasi yang dibatalkan operasinya kerana tidak aktif.

"Mengikut strategi kita selepas meminda Akta Koperasi (Pindaan) 2021 untuk menurun dan mengurangkan bilangan pendaftaran individu menyertai koperasi daripada 50 kepada 20 orang, kita sasarkan pendaftaran sebanyak 1,000 koperasi seluruh negara.

"Jadi kita akan membuat promosi di setiap negeri untuk (galakkan) menubuhkan koperasi dalam kalangan 20 orang itu," katanya ketika sidang media selepas Program Sinergi SKM Cawangan Selangor Bersama Media di Kafe The Cups, Coffee dan Kitchen di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Pengarah SKM Cawangan Negeri Selangor, Rozdeen Mohd Jaafar berkata, sebanyak 1,758 koperasi, dengan keanggotaan seramai 609,643 orang setakat Disember tahun 2020.

Ujarnya, sebanyak RM832,000 peruntukan disalurkan kepada koperasi di negeri tersebut setakat Februari lalu.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM189,000 peruntukan sebagai bantuan kepada koperasi yang terjejas akibat banjir sebagai tanda keprihatinan SKM kepada pemilik koperasi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, Program Sinergi SKM Cawangan Selangor Bersama Media di Kafe The Cups, Coffee dan Kitchen di sini, diadakan untuk mempromosi kafe tersebut dalam kalangan warga tempatan supaya mereka boleh bersantai sambil menikmati hidangan ringan yang ditawarkan sesuai dengan citarasa golongan belia.

Selain itu, program berkenaan diadakan untuk meraikan 30 kumpulan media yang dikumpulkan bagi membina kerjasama strategik bersama SKM.

"Program ini bersifat jangka panjang dan kami berharap rakan media menjadi rakan informatif yang menyalurkan maklumat tepat berkaitan SKM," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!