Rendang Pahang bawa tuah kepada PPK Jerantut
PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Perasaan kecewa kerana tidak dapat menyediakan masakan ikan patin yang menjadi menu istimewa orang Pahang terubat apabila wakil Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Jerantut muncul juara dengan mempertaruhkan menu Daging Rendang Pahang.
Lebih istimewa, PPK Pahang berjaya menewaskan 13 pencabar lain dalam pertandingan memasak Dari Dapur Peladang Nita (DDPN) Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Ibu Pejabat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), di sini pada Rabu.
Selain Rendang Daging Pahang, Hamizah Basir, 57, dan rakannya, Esah Abdul Rahim, 61, turut mempertaruhkan Pais Talapia Belimbing Hitam dan Batang Buruk sebagai manisan.
Menurut Hamizah, apa yang istimewanya rendang yang dihasilkan mereka adalah menggunakan gula kabong dan bunga Roselle bagi memberikan rasa masam dan warna yang menarik.
“Kami memang berkira-kira nak masak ikan patin tapi ia tiada dalam menu pertandingan. Bagi mengekalkan identiti Pahang, kami mengambil keputusan untuk memasak rendang daging dan pais talapia menggunakan belimbing hitam.
“Alhamdulillah, tidak sangka menang dan berjaya menewaskan rakan-rakan dari negeri lain. Lebih manis, saya dan rakan-rakan seramai 16 orang datang ke sini menaiki van bagi memberikan sokongan. Insya-ALLAH, kami akan belanja mereka nanti sebab setia bersama.
“Selain belanja rakan-rakan, saya bercadang duit kemenangan ini digunakan untuk persediaan Ramadan dan hari raya nanti,” katanya.
Mereka berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000 dan turut menerima plak dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Ketua Pengarah LPP, Datuk Azulita Salim.
Pemenang bagi tempat kedua pula adalah wakil Melaka, iaitu Nur Haslinda Mohd Shakdan dan Sharifah Sahat dari PPK Melaka Tengah yang membawa pulang wang tunai RM5,000 manakala tempat ketiga dimenangi wakil Johor, Norazah Toha @ Taha dan Azizah Mohd Rais dari PPK Simpang Renggam yang memenangi wang tunai RM3,000.
Sementara 11 wakil negeri lain menerima hadiah saguhati bernilai RM1,000 dan kesemua peserta turut menerima plak dan sijil penghargaan.
Program itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Panel juri bagi pertandingan itu terdiri daripada wakil MAFI, Habshah Ali yang bertindak sebagai ketua juri dan turut diadili Ketua PeladangNita, Datuk Nazilah Abd Latif dan Chef Selebriti, Chef Adu Amran.
Penilaian dalam pertandingan itu dibuat berdasarkan aspek kebersihan meliputi penampilan peserta dan tempat penyediaan serta ketepatan masa dari mula persediaan sehingga persembahan hidangan.
Selain itu, persembahan hidangan dari aspek kekemasan, daya tarikan, kreativiti dan inovatif turut diambil kira serta rasa yang meliputi kombinasi masakan, tekstur dan keaslian rasa.
Program Dari Dapur Peladang Nita (DDPN) Peringkat Kebangsaan merupakan salah satu program pengisian sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) Tahun 2021 yang sepatutnya diadakan pada 23 Disember 2021 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.
Program itu telah dilaksanakan di peringkat negeri bermula di Negeri Sembilan pada 15 November 2021 dan terakhir dibuat di Sabah pada 15 Disember 2021.
Selain mempromosi aktiviti peladangNita, pertandingan masakan itu dibuat bagi mempromosi resepi-resepi masakan yang dicipta oleh peladangNita daripada seluruh negara serta memperkasa peladangNita peringkat kawasan dan daerah.
Selain itu, resepi yang disediakan oleh pemenang bagi setiap negeri akan turut dibukukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!