Pemilik kilang disaran buat pemutihan segera
SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor memberi tempoh kepada pemilik kilang yang beroperasi tanpa kebenaran terutamanya di atas tanah pertanian untuk segera
membuat proses pemutihan.
Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baharu, Ng Sze Han, tempoh pemutihan
itu sangat terhad dan tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya pemilik kilang gagal berbuat demikian.
Menurutnya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap pemilik berdaftar tanah yang melanggar syarat kegunaan tanah dan pengusaha kilang yang beroperasi di atas tanah yang bukan syarat kegunaan industri.
"Pejabat Daerah dan Tanah serta Majlis Bandaraya/ Perbandaran/ Daerah bersama-sama agensi kerajaan yang lain akan mengenakan tindakan di bawah undang-undang yang sedang berkuatkuasa.
"Tindakan pemutihan ini juga adalah di bawah Program Pematuhan Syarat Dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran yang kita teruskan selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke-5 baru-baru ini, " katanya.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan mulut oleh Azmizam Zamanhuri (PKR-Pelabuhan Klang) yang bertanyakan langkah yang diambil oleh kerajaan negeri untuk memastikan pengusaha kilang terbabit tidak meneruskan operasi selepas diperintahkan oleh kerajaan negeri.
Sze Han yang juga Adun Kinrara berkata, pihaknya bagaimanapun akan membantu pemilik kilang yang dibina atas tanah pertanian di kawasan zon industri untuk menukar syarat tanah dari pertanian kepada zon industri.
"Kita akan pastikan mereka ambil bahagian dalam program pemutihan ini yang dijalankan dalam tempoh dua bulan tapi tak boleh dedahkan lagi secara terperinci... kita akan umum tak lama lagi," katanya memberitahu lebih 1,000 kilang beroperasi secara haram dikesan di negeri ini.
Dalam pada itu, Sze Han berkata, pihaknya sudah menjalankan penutupan operasi sepenuhnya ke atas 33 kilang plastik di Kuala Langat dan juga beberapa tindakan ke atas kilang di Kuala Selangor.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan ke atas kilang seperti ini mengambil masa ekoran ia terletak dalam estet atau lokasi yang tersembunyi.
"Apabila dapat lokasi yang tepat baru kita dapat jalankan tindakan secara bersepadu.
"Tindakan ini akan diteruskan sehingga kesemua kilang haram ini ditutup sepenuhnya, "katanya.
Menurutnya, bermula dari Julai 2006 sehinggalah berakhir pada 31 Disember 2015, hanya 630 buah kilang berjaya diputihkan yang bermaksud mempunyai kelulusan tukar syarat, kebenaran merancang dan pelan bangunan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!