Fasa endemik: Kanak-kanak dibenar masuk stadium
KANAK-KANAK di bawah umur 12 tahun akan dibenarkan masuk ke dalam stadium selaras dengan fasa peralihan endemik bermula 1 April ini, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Selain itu, Ahmad Faizal berkata, aktiviti makan dan minum di dalam stadium yang sebelum ini tidak dibenarkan, kini dibolehkan.
"Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengalu-alukan apabila stadium dan pusat kejohanan membenarkan penonton makan dan minum, selain kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dibenarkan masuk. Sudah tentu kelonggaran ini disambut baik oleh orang ramai.
"Namun prosedur operasi standard (SOP) untuk terus memakai pelitup muka jika tidak minum atau makan, serta penjarakan sosial perlu dipatuhi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Putrajaya Night Ride 2022 di sini malam Rabu.
Ahmad Faizal berkata, Majlis Keselamatan Negara akan memperincikan lebih banyak kelonggaran SOP dalam masa terdekat.
Ahmad Faizal sebelum itu melepaskan kira-kira 200 peserta program yang menyertai aktiviti berbasikal serta larian santai sejauh 10 kilometer di sekitar Putrajaya.
Program inisiatif KBS itu bertujuan memperkasakan agenda pembangunan belia dan sukan menerusi gaya hidup aktif dan sihat termasuk dalam kalangan penjawat awam. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!