Santuari Kelah kembali meriah
HULU TERENGGANU - Destinasi tumpuan pelancong di Santuari Kelah, Tasik Kenyir kembali meriah selepas dibuka semula pada 20 Mac lalu.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Razali Idris berkata, sambutan pengunjung ke 'permata' Tasik Kenyir itu amat menggalakkan terutama dengan adanya tawaran harga promosi serendah RM15 untuk dewasa dan RM8 bagi kanak-kanak.
Katanya, lokasi tumpuan pelancong termasuk Air Terjun Lasir di tasik buatan itu tidak terjejas walaupun dilanda banjir besar pada 27 Februari lalu.
"Walaupun dilanda bencana besar bulan lalu, kebanyakan ikan kelah yang dipelihara di Pusat Santuari Kelah, Sungai Petang masih ada dan kawasan itu tidak terjejas teruk.
"Keadaan air termasuk di Air Terjun Lasir juga kembali jernih malah saya difahamkan tempahan kesemua 76 rumah bot juga sentiasa penuh dan ada kalanya tidak menang tangan untuk menampung permintaan pelancong,” katanya ketika ditemui sempena program Kenyir Bird & Nature Quest (KBNQ) 2022 di sini, baru-baru ini.
Pusat Santuari Kelah yang mengambil masa sekitar 45 minit dari Jeti Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir ditutup sementara kepada semua pengunjung pada 4 Mac lalu bagi memberi laluan untuk kerja-kerja pembersihan sisa banjir.
Sementara itu, Razali berkata, lambakan sisa kayu di empangan Tasik Kenyir akibat banjir luar biasa kini masih dalam proses untuk dibawa keluar dari kawasan itu.
"Kesemua sisa-sisa kayu berkenaan sudah dibersihkan, diikat dan diletakkan setempat sebelum kerja-kerja pengalihan. Saya sudah mengarahkan supaya kawasan terjejas dibersihkan dan tiada lagi longgokan kayu di Tasik Kenyir.
"Cuma saya difahamkan proses untuk membawa keluar longgokan itu mengambil sedikit masa kerana melibatkan Pejabat Perhutanan dan Pejabat Daerah namun buat sementara waktu ini kita sudah dalam keadaan selamat dan ditempatkan pada bahagian tepi laluan air," katanya.
Bencana banjir di daerah Hulu Terengganu pada akhir Februari lalu merupakan yang terburuk dan menjejaskan banyak kediaman penduduk akibat sisa lumpur selain timbunan sisa pokok kayu yang dihanyutkan air.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!