12 pasangan pengantin Orang Asli diraikan

Maarof (depan lima dari kanan) dan isteri (depan enam dari kanan) bersama 12 pasangan pengantin Orang Asli yang diraikan.
Maarof (depan lima dari kanan) dan isteri (depan enam dari kanan) bersama 12 pasangan pengantin Orang Asli yang diraikan.
A
A
A

JELEBU - Menjadi hari bersejarah buat seramai 12 pasangan pengantin masyarakat Orang Asli beragama Islam di daerah ini apabila diraikan dalam Majlis Raikan Cinta di Pejabat Agama Islam Daerah Jelebu di sini pada Rabu.

Majlis yang dianjurkan secara bersama oleh Undang Luak Jelebu, agensi agama Islam daerah dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Negeri Sembilan itu merupakan julung kali dianjurkan.

Hadir sama, Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad dan isteri, Tok Puan Mahawa Mohd Som.

Pegawai Agama Islam Daerah Jelebu, Mohd Murad Mohd Yusof berkata, kebanyakan pasangan berkenaan yang merupakan saudara baharu telah melangsungkan akad nikah dengan menggunakan wali hakim sebelum ini.

"Majlis pernikahan mereka pun kita bantu uruskan dengan tujuan utama memastikan kesemua pasangan ini berkahwin mengikut hukum syarak ditetapkan.

"Paling tua lelaki berusia 45 tahun dan paling muda perempuan berusia 19 tahun yang mana ada dalam kalangan mereka telah pun mempunyai anak," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Maarof (depan kiri) memberi sagu hati kepada pasangan pengantin Orang Asli yang diraikan.
Maarof (depan kiri) memberi sagu hati kepada pasangan pengantin Orang Asli yang diraikan.

Ujarnya, pejabat agama bukan sekadar memastikan pasangan berkenaan mempunyai perkahwinan yang sah tetapi turut memastikan mereka menjalani kehidupan sebagai individu beragama Islam sebenar.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana katanya, kebanyakan mereka lemah dalam pengetahuan agama Islam.

"Jadi kita akan bantu mereka termasuk memberi pendidikan agama," katanya.

Sementara itu, salah seorang pengantin, Daud Ewah, 35, berkata, dia tidak menyangka selepas 12 tahun mendirikan rumah tangga baru kini berpeluang diraikan.

Katanya, sebelum ini hanya melakukan majlis akad nikah secara adat di kampung.

"Saya bersyukur sangat kerana terpilih untuk diraikan dalam majlis begini, seolah-olah saya dan isteri baru saja berkahwin, seperti pengantin baharu.

"Anak kami pun dah ada dua orang berusia 11 dan 13 tahun. Terima kasih sangat pada pihak menganjurkan majlis yang pastinya ia akan jadi hari paling manis buat kami," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!