Insiden pensyarah marah pelajar perlu jadi pengajaran

Rakaman video seorang pensyarah memarahi pelajar kerana tidak mempunyai komputer menerima pelbagai reaksi daripada netizen.
Rakaman video seorang pensyarah memarahi pelajar kerana tidak mempunyai komputer menerima pelbagai reaksi daripada netizen.
A
A
A

RAKAMAN video seorang pensyarah yang tular memarahi pelajar yang tidak mempunyai komputer riba dan menghina golongan berpendapatan rendah (B40) di sebuah universiti awam negara ini seharusnya dijadikan pengajaran.

Situasi itu boleh diibaratkan seperti pepatah Melayu yang popular iaitu terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Mana tidaknya, walaupun niat pensyarah terbabit baik untuk menegur, tetapi teguran itu seharusnya dibuat dengan kasih sayang.

Tidak seharusnya kita menyakiti hati sesiapa dengan mengungkapkan kata-kata kasar kerana di saat negara ini menghadapi pandemik Covid-19, tidak semua orang yang hidupnya senang.

Apapun, semua pihak di luar sana seharusnya menunggu siasatan dan tindakan yang akan diambil berkenaan perkara tersebut.

Netizen juga perlu menjaga batas dalam membuat komen kerana bimbang akan terjadinya kes seperti buli siber.

Sebelum ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad telah meminta Universiti Teknologi Mara (UiTM) memberi penjelasan berhubung rakaman video yang tular tersebut.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor kemudiannya memaklumkan sudah memberi arahan kepada pengurusan untuk mengambil tindakan terhadap pensyarah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, satu kenyataan akan dikeluarkan berhubung situasi berkenaan dan termasuk tindakan terhadap pensyarah terbabit.

Roziah menjelaskan, kejadian tersebut sebenarnya berlaku pada semester lalu antara bulan September 2021 hingga Februari 2022.

“Namun, video itu dimuat naik semalam, mesti ada sebab. Sama ada hendak menyerang pensyarah berkenaan.

“Apapun tindakan, kami sudah ambil. Pelajar tersebut kita sudah kenal pasti dan telah hantar bantuan komputer riba kepadanya,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!