Peluang jadi imam di Pusat Islam Universiti Oxford satu penghormatan
SEREMBAN - Peluang menjadi imam solat terawih di Pusat Islam Universiti Oxford, United Kingdom sepanjang Ramadan ini disifatkan Dr Amru Al Haz Adnan sebagai satu penghormatan.
Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Negeri Sembilan itu berkata, beliau menganggap peluang berkenaan sebagai satu amanah selain membawa imej negara.
"Apabila pihak Jakim hubungi menyatakan hasrat mencalonkan saya sebagai imam di sana, saya jadi teruja dan telah menjalani sesi temu duga dengan felo Pusat Pengajian Islam Oxford, Datuk Dr Afifi Al Akiti dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.
"Tak sangka saya merupakan calon imam tunggal dari Malaysia dan ini menjadi pengalaman pertama menjadi imam di luar negara," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Menurutnya, diberi tanggungjawab menjadi imam bukannya perkara asing baginya yang biasanya akan dijemput menjadi imam dipelbagai masjid terutama di Negeri Sembilan ketika bulan Ramadan.
Namun kata Amru, bezanya kali ini terpaksa meninggalkan keluarga selama sebulan.
"Memanglah saya terpaksa tinggalkan keluarga. Tapi peluang ini jarang dapat dan saya anggapnya sebagai satu amanah.
"Jadi saya perlu tunjuk sebaik mungkin sebagai imam utama solat terawih dengan perlu membawa bacaan 30 juzuk al-Quran secara khatam," katanya.
Selain itu katanya, ramai bakat besar di negara ini yang mampu melaksanakan tugas berkenaan dan perlu diketengahkan.
Dr Amru juga merupakan lulusan ijazah sarjana muda di Universiti Al Azhar, Mesir dan Universiti Malaya (UM) peringkat Ijazah Sarjana serta Doktor Falsafah (PhD) serta pernah menjadi pensyarah di Darul Quran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!