Sungai dicemar, pegawai disogok

A
A
A

*ADA berita baik: kawasan sekitar Sungai Kim Kim di Johor yang dicemari bahan toksik dua minggu lalu kini telah diisytiharkan selamat.

Tetapi ada berita tidak baik: kerja-kerja pembersihan sungai akan menelan belanja RM6.5 juta, kata Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin.

Menteri itu menambah keseluruhan kerja-kerja pembersihan dan pengurusan sungai berkenaan boleh mencecah lebih RM10 juta. Dan, ada berita yang lebih tidak baik: suspek yang mengotorkan sungai berkenaan telah dikenal pasti. Tetapi setakat ini, telah lebih dua minggu, belum ada pendakwaan ke atasnya.

Menurut menteri berkenaan, pejabat Peguam Negara masih mengkaji bagaimana si penyangak boleh diheret ke mahkamah, dan membayar kos pembersihan.

Penduduk telah menderita, penyangak telah dikenal pasti, apa lagi hendak dikaji. Apakah hendak menunggu tragedi ini berulang? Harap maklum pencemaran itu menjejaskan 4,000 keluarga, hampir 1,000 dimasukkan ke hospital dan 12 daripada mereka dirawat dalam Unit Rawatan Rapi.

Jangan banyak siasat dan bertangguh. Seluruh rakyat kini tidak sabar mahukan penyangak-penyangak tidak bertanggungjawab itu segera dihukum.

*SEPERTI yang diakui menteri, ini bukan kali pertama Kim Kim dicemari sisa buangan berbahaya. Sudah berkali-kali penyangak melakukan kerja-kerja haram si sungai berkenaan.

Tetapi pihak berkuasa kita terlalu berlembut. Mungkin kerana undang-undang kita lemah, boleh jadi juga penguatkuasaan kita lembap akibat rasuah.

Artikel Berkaitan:

Tahun lalu sejumlah 2,200 kompaun telah dikeluarkan ke atas para penyangak, hanya 159 yang dibawa ke mahkamah, dan jumlah keseluruhan denda hanyalah RM2.5 juta.

Bayangkan dari lebih 2,000 kompaun dikeluarkan hanya 1 peratus yang dibawa ke mahkamah, dan jumlah dendanya ciput sangat.

Kalau setakat bayar denda RM1,000 atau RM2,000, si penyangak tidak kisah sedikit pun, sebab mereka memperoleh keuntungan RM berjuta dari kilang yang melimpahkan toksik itu.

Untuk rekod, tidak hanya Kim Kim di Johor, sebahagian besar sungai-sungai kita di seluruh negara telah dicemari oleh sekian banyak kekotoran daripada pelbagai kegiatan kilang-kilang haram. Sejak dulu sungai kita diracun, pegawai kita dirasuah, rakyat kita juga yang susah.

*MENTERI Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun mengugut untuk meletakkan jawatan sebagai presiden Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC) sekiranya kelab itu terus menjual arak.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Islam Negeri berkata, telah menyuarakan perkara itu sebanyak dua kali dalam mesyuarat, dan berharap SIGC bersih daripada arak.

“Kelab itu dikelilingi oleh masjid dan perumahan di mana majoriti penduduknya beragama Islam, jadi tidak wajar untuk menjual minuman keras di sana,” katanya.

Syabas atas ketegasan MB mengenai arak. Mudah-mudahan ketegasan itu dikenakan juga ke atas tempat dan premis lain yang tidak sepatutnya mengutamakan arak.

*LAGI ketegasan yang patut dipuji. Kerajaan Negeri Kelantan tidak tunduk kepada permintaan supaya diwujudkan semula pawagam yang telah lama ditutup di negeri itu.

Dalam sidang DUN minggu lalu, seorang wakil BN mencadangkan pawagam dibuka kembali dengan konsep patuh syariah. Sementara itu seorang wakil rakyat DAP dari Perak membidas keputusan kerajaan Pas Kelantan terus enggan membuka panggung wayang di seluruh negeri itu.

Adun Keranji Chong Zhemin berkata alasan mengelakkan masalah sosial yang diberikan adalah tidak lojik dan tidak berasas sama sekali. Sudah 30 tahun Kelantan OK sahaja tanpa pawagam, apa yang hendak di heboh-heboh lagi sekarang? Janganlah isu pawagam pun hendak dipolitikkan. Cukup-cukuplah!

*MALAYSIA menjunam 45 anak tangga kepada kedudukan ke-80 bagi negara paling bahagia di dunia, jauh ketinggalan di belakang negara jiran Asia Tenggara Singapura dan Thailand.

Menurut ‘Laporan Kebahagiaan Sedunia 2019’ (WHR 2019), rakyat Malaysia tidak gembira dengan sokongan sosial (di kedudukan 97) dan rasuah (137) negara, sementara rakyat dilihat puas hati dalam perkara seperti kebebasan (36) dan jangka hayat kesihatan (59). Ertinya, bukan semua tidak baik mengenai Malaysia, ada juga yang baik.

*AKHIR kalam, kita berdukacita dan mengucap takziah kepada semua keluarga 50 korban serangan ganas di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand, termasuk Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17. Semoga roh mereka ditempatkan di jannah. Amin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!