15 lot kedai di Pasar Yong Peng terbakar

Sebanyak 15 lot kedai di Pasar Yong Peng Sdn Bhd, Jalan Meng Seng, Yong Peng, Batu Pahat musnah dalam satu kebakaran pada awal pagi Khamis.
Sebanyak 15 lot kedai di Pasar Yong Peng Sdn Bhd, Jalan Meng Seng, Yong Peng, Batu Pahat musnah dalam satu kebakaran pada awal pagi Khamis.
A
A
A

BATU PAHAT - Sebanyak 15 lot kedai di Pasar Yong Peng Sdn Bhd, Jalan Meng Seng di sini musnah dalam satu kebakaran pada awal pagi Khamis.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Penolong Penguasa Bomba Asyraf Nur Mohd Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.29 pagi.

Anggota bomba memadamkan kebakaran melibatkan 15 lot kedai yang musnah sehingga 95 peratus.
Anggota bomba memadamkan kebakaran melibatkan 15 lot kedai yang musnah sehingga 95 peratus.

"Seramai tujuh anggota dikejarkan ke tempat kejadian. Kebakaran melibatkan 15 lot kedai penjaja kecil berkeluasan 15x51 meter dalam bangunan pasar basah struktur separuh kekal yang berkeluasan keseluruhan 22x51 meter.

"Kebakaran memusnahkan 80 peratus daripada keseluruhan bangunan. Kebakaran turut melibatkan sebuah motosikal Suzuki RG, memusnahkan 95 peratus kenderaan.

"Kebakaran tidak melibatkan mangsa dan kerja-kerja 'overhaul' sedang dijalankan di tempat kejadian. Operasi tamat pada jam 9.05 pagi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, insiden tersebut turut menarik perhatian Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Dr Wee Ka Siong yang turut memuat naik beberapa foto kejadian berkenaan dalam Facebook miliknya.

"Kebakaran berlaku di Pasar Awam Jalan Templer, Yong Peng kira-kira pukul 2.30 pagi tadi. Saya kini berada di Desaru untuk menghadiri Majlis Perasmian Terminal Feri Desaru di Desaru Coast Ferry Terminal yang akan disempurnakan oleh DYMM Tuanku Sultan Johor pada pagi ini.

Artikel Berkaitan:

"Seawal jam 6 pagi, saya menghubungi YB Ling Tian Soon, Exco Kerajaan Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng yang berada di tempat kejadian," tulisnya dalam entri berkenaan.

Katanya, laporan awal mendapati 70 peratus daripada bangunan pasar musnah dan seramai 17 pemilik gerai terjejas.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan bersyukur kerana tiada sebarang kecederaan berlaku.

Tian Soon (tengah) berbincang dengan anggota bomba dan pemilik kedai selepas 15 lot kedai terbakar di Pasar Yong Peng Sdn Bhd, Jalan Meng Seng, Yong Peng, Batu Pahat, pada awal pagi Khamis.
Tian Soon (tengah) berbincang dengan anggota bomba dan pemilik kedai selepas 15 lot kedai terbakar di Pasar Yong Peng Sdn Bhd, Jalan Meng Seng, Yong Peng, Batu Pahat, pada awal pagi Khamis.

"Selaku Ahli Parlimen Ayer Hitam, saya telah memaklumkan kepada YB Ling Tian Soon untuk memberikan bantuan segera RM1,000 daripada saya kepada setiap pemilik gerai di samping menunggu laporan lengkap dari pihak bomba dan polis.

"Kami berdua akan melakukan yang terbaik untuk membantu semua mangsa kebakaran. Saya bersama-sama dengan ADUN Yong Peng akan berbincang dengan pihak Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) serta mencari kaedah terbaik untuk membina semula pasar yang terbakar," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!