Pelanggan 'hutang' RM33 juta dengan AKSB
KOTA BHARU - Sebanyak RM33 juta bil air yang masih tertunggak dan gagal dilunaskan oleh pelanggan Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd Nor berkata, jumlah tersebut melibatkan tunggakan sehingga Februari tahun ini.
"Jadi saya berharap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dapat turun padang dan memberitahu rakyat supaya melunaskan tunggakan ini.
"Untuk maklumat keseluruhan pengguna AKSB di Kelantan adalah seramai 271,876 pengguna," katanya semasa menjawab soalan Rohani Ibrahim (Pas-Tanjong Mas) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, pada Khamis.
Sebelum itu Rohani ingin mengetahui sejauh mana kemajuan program pertukaran paip Asbestos Cement AC berusia lebih 35 tahun sepanjang 4,006 kilometer (km) dengan kos RM1.3 bilion bermula tahun 2018 hingga 2030.
Mengulas lanjut berhubung projek itu, Azami berkata, panjang paip berusia 35 hingga 40 tahun yang perlu ditukar adalah 4,006km dan program pertukaran paip itu dilakukan menerusi pembiayaan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
ADUN Kadok itu berkata, bagi tahun 2018, pihaknya sudah menyiapkan 241km untuk tiga jajahan iaitu Kota Bharu, Gua Musang dan Tumpat.
"Pada 2019 pula, kita menyiapkan sepanjang 225km membabitkan empat daerah iaitu Kota Bharu, Tanah Merah, Kuala Krai dan Machang.
"Pinjaman ini perlu dibayar dan salah satu punca hasil AKSB ialah apabila pelanggan membayar bil air," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!