Bradl ganti Marquez di GP Argentina
PELUMBA Jerman, Stefan Bradl akan cuba memberikan yang terbaik apabila dipanggil pasukan Respol Honda bagi menggantikan Marc Marquez ada Grand Prix (GP) Argentina, 4 April ini.
Marquez ketika ini dilaporkan sedang melalui proses pemulihan setelah mengalami kemalangan pada GP Indonesia minggu lalu.
Justeru menurut pelumba berusia 32 tahun itu, dia tidak akan mempersia-siakan panggilan berkenaan kerana ia (panggilan) dilihat sebagai satu penghormatan bagi menggantikan pelumba hebat sepeti Marquez.
“Saya akan cuba berikan yang terbaik pada perlumbaan kali ini dan saya turut berharap agar Marc (Marquez), untuk segera sembuh.
“Lagi pun, saya ada kenangan yang baik di GP Argentina sebelum ini di mana saya menamatkan perlumbaan pada kedudukan kelima pada musim 2014 lalu selain menduduki tempat ke tujuh ketika saya bersama pasukan Termas pada 2016.
“Apa pun, saya sudah menguji jentera baharu Honda RC213V untuk perlumbaan kali ini dan diharapkan ia mampu membantu saya mencatatkan keputusan terbaik hujung minggu ini,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pelumba Repsol Honda, Pol Espargaro berazam untuk membawa pasukan berkenaan kembali ke landasan kemenangan setelah mengharungi perlumbaan sukar di Indonesia minggu lalu.
Katanya, pasukan berkenaan perlu mengekalkan fokus pada perlumbaan kali ini dalam usaha mencatatkan keputusan-keputusan positif kali ini.
“Setelah mengharungi perlumbaan yang sukar di Indonesia, kami tidak mahu menoleh ke belakang lagi tetapi mahu terus memandang ke hadapan dan mencatatkan keputusan yang baik pada perlumbaan-perlumbaan akan datang.
“Oleh itu, apa yang perlu kami lakukan adalah kekal fokus dan memberikan yang terbaik di sepanjang perlumbaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!