Pakistan beri sambutan rasmi kepada Tun M
ISLAMABAD - Pakistan memberi sambutan rasmi kepada Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad sempena lawatan beliau ke negara itu di Prime Minister’s House di sini hari ini.
Perdana Menteri Pakistan Imran Khan menyambut Dr Mahathir semasa tiba di kediaman rasmi Perdana Menteri Pakistan itu. Sejurus itu, lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Dr Mahathir kemudiannya memeriksa barisan kawalan kehormatan Angkatan Tentera Pakistan.
Kedua-dua perdana menteri seterusnya memperkenalkan delegasi masing-masing.
Dr Mahathir turut menanam anak pokok pain spesis ‘Pinus Roxburghii’ yang berasal dari Himalaya sebagai simbol kepada hubungan Malaysia-Pakistan.
Dr Mahathir dan Imran Khan dijadual mengadakan mesyuarat empat mata, yang akan diiikuti dengan mesyuarat delegasi Malaysia dan Pakistan.
Dr Mahathir dan Imran Khan akan mengeluarkan kenyataan bersama kemudiannya.
Perdana Menteri Malaysia juga akan menghadiri majlis makan tengah hari yang dihoskan Imran Khan.
Dr Mahathir memulakan lawatan kerja tiga hari ke Pakistan pada Khamis. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!