MBSA, JKR jalin kerjasama bangunkan teknologi sistem pintar

Majlis menandatangani MoU disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor (tengah) dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Ir Lokman Nasir (dua kiri).
Majlis menandatangani MoU disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor (tengah) dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Ir Lokman Nasir (dua kiri).
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung projek sistem 'Road Electrical Asset Communication & Telemetry' (REACT) di sini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, kerjasama ini adalah berkonsepkan koordinasi usaha sama kedua-dua pihak dalam membangunkan teknologi sistem pintar yang pertama digunakan JKR dan dikembangkan untuk pengawasan aset elektrik jalan raya iaitu lampu isyarat serta lampu jalan dalam kawasan pentadbiran MBSA.

Menurutnya, sistem pintar ini akan memastikan agar aset-aset ini boleh dipantau dan dikawal secara berpusat bagi tujuan pengawasan dan juga pembangunan masa depan.

"Pembangunan sistem pengurusan fasiliti ini akan memudahkan proses penyelenggaraan dan pembaikan kerosakan serta memastikan aset dapat berfungsi secara optimum.

"Antara kelebihan sistem REACT adalah membantu mengawal sistem trafik secara jarak jauh dan menyimpan data sehingga 50 maklumat bagi setiap persimpangan dan butiran seperti nama jalan dan nombor siri alat telekomunikasi," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya lagi, REACT juga boleh memantau aset-aset elektrik secara 'real-time' dan memberikan notifikasi mengenai isu pada aset elektrik secara terus tanpa perlu menunggu aduan kerosakan daripada orang awam.

"Selain itu, REACT merupakan platform pihak MBSA untuk mengkaji dan menganalisis trafik pengiraan kenderaan di dalam kawasan pentadbiran MBSA dengan lebih berkesan.

"Kerjasama di antara MBSA dan JKR ini adalah inisiatif pihak MBSA ke arah Bandar Raya Rendah Karbon menjelang 2030 seiring dengan pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGS) di Bandar Raya Shah Alam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pihak MBSA berharap kerjasama dua hala ini dapat memperluaskan hubungan dua hala di antara kedua pihak dan sekaligus memastikan kemudahan infrastruktur di Bandar Raya Shah Alam yang berdaya saing serta kompetitif setaraf di peringkat antarabangsa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!