Malaysia gesa Thailand, Brunei sertai TCA bentuk perjanjian kuartet

Hishammuddin ketika berucap semasa majlis penghargaan dan pengumuman Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia 2022 pada Khamis.
Hishammuddin ketika berucap semasa majlis penghargaan dan pengumuman Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia 2022 pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan (Mindef) menggesa Thailand dan Brunei menyertai Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) Malaysia-Indonesia-Filipina bagi menghadapi ancaman yang dihadapi bersama di Laut Sulu serta Laut Sulawesi

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sudah tiba masa untuk Brunei menyertai TCA dan membentuk persefahaman kuartet Malaysia-Indonesia-Filipina-Brunei untuk menjaga keamanan di Lautan Sulu.

“Usaha antara Malaysia, Indonesia dan Filipina untuk menjaga keselamatan perairan di Laut Sulawesi dan Sulu merupakan satu perkara yang paling saya banggakan.

“Sekiranya mendapat perkenan daripada Tuanku Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah kita berharap dapat mengubah TCA menjadi persefahaman kuartet empat negara demi menjaga keselamatan di Laut Sulu,” katanya dalam ucapan semasa majlis penghargaan dan pengumuman Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia 2022 di sini pada Khamis.

Beliau berkata, penyertaan Thailand pula penting untuk mengenal pasti ancaman di Selat Melaka dan Laut Sulawesi dalam usaha negara-negara serantau untuk menjaga keselamatan di perairan tersebut.

Katanya, beliau bercadang untuk memperluaskan lagi skop persefahaman membabitkan perjanjian serantau dan perjanjian-perjanjian bilateral antara wilayah kecil dalam usaha menambah erat hubungan antara semua negara berkenaan.

“Sudah tentu kami (TCA) mahu libatkan semua negara, tetapi kita perlu mencari satu titik persamaan di mana setiap negara berkenaan menghadapi ancaman yang sama di Lautan Sulu dan Sulawesi, kalau tidak, susah untuk kita nak melibatkan empat negara yang berdaulat untuk bekerjasama rapat.

“Jalan terbaik adalah dengan menangani ‘musuh bersama’, kita semua menghadapi cabaran sama dan kita ada aset yang boleh dikongsikan bersama memandangkan kekangan ekonomi semasa,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!