Polis tingkatkan penguatkuasaan SOP 1 April
KUALA LUMPUR - Polis akan meningkatkan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) di ibu kota apabila negara memasuki fasa peralihan ke endemik mulai 1 April ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya akan menggerakkan anggota dan pegawai bagi melakukan pemantauan di semua lokasi tumpuan di ibu kota.
"Pemantauan akan dilaksanakan seperti biasa, daripada segi jumlah anggota dan pegawai saya akan maklumkan kemudian apabila satu SOP baharu akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Kita akan memastikan masyarakat khususnya warga Kuala Lumpur terus patuhi SOP, jaga penjarakan serta memakai pelitup muka," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Kempen Derma Darah Sempena Peringatan Hari Polis ke-215 Peringkat Polis Kuala Lumpur pada Khamis.
Pada 8 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Malaysia akan memasuki fasa peralihan ke endemik mulai 1 April ini.
Ismail Sabri dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor, melakukan penilaian risiko, mendapatkan pandangan KKM serta meneliti syor daripada Menteri Kuartet.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!