Polis enggan ulas tuntutan bapa 'Baby Syifaa'
SEREMBAN - Polis enggan mengulas berhubung tempoh dua minggu yang diberikan bapa 'Baby Syifaa' untuk mengemukakan hasil siasatan selanjutnya berhubung kematian anaknya pada 22 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, semestinya polis sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
"Saya tidak mahu komen apa apa tentang kenyataan dia (bapa Baby Syifaa).
"Pihak polis sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat sama seperti tema bagi tahun ini 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada'," katanya ringkas kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan bapa kepada seorang bayi perempuan berusia 15 bulan yang meninggal dunia di pusat jagaan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan, 22 Februari lalu memberi tempoh dua minggu kepada pihak polis untuk mengemukakan hasil siasatan selanjutnya.
Yuseri Yusoff, 39, berkata, beliau mahukan keadilan kepada Allahyarham anaknya kerana selepas 37 hari kematiannya masih belum ada sebarang pendakwaan dibuat termasuk individu direman.
Sebelum ini Yuseri menerusi laman Facebook miliknya mendakwa bayinya dijerut bukannya terjerut serta berkongsi tanda pagar #Justice4BabySyifaa.
Sinar Harian melaporkan, Nour Rania Asyifaa Yuseri ditemui tidak sedarkan diri pada jam 3 petang di dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, berdasarkan siasatan awal, sebelum itu mangsa telah diberi susu oleh pengasuh dan dimasukkan ke dalam bilik tidur bersama dua kanak-kanak lain pada jam 12.30 tengah hari.
"Mangsa ditidurkan dalam buaian dan dua kanak-kanak lain ditidurkan dalam buaian jenis 'rocker'.
"Selepas itu pengasuh keluar dari bilik pada jam 2 petang untuk melakukan tugas-tugas lain," katanya.
Menurutnya, pada jam 3 petang, pengasuh masuk semula ke dalam bilik dan mendapati mangsa dengan keadaan kepala tersangkut pada kain buaian.
Jelasnya, pengasuh kemudian telah melakukan bantuan kecemasan kepada bayi terbabit namun mangsa didapati tidak bernafas.
"Dia kemudian telah membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Sendayan untuk pemeriksaan lanjut namun doktor yang merawat mengesahkan bayi itu telah meninggal dunia pada jam 4.30 petang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!