Lelaki tidak pulang ke rumah ditemui lemas
SABAK BERNAM - Tanda tanya seorang lelaki tidak pulang ke rumah sejak malam Selasa akhirnya terjawab selepas dia ditemukan lemas semasa menunggang motosikal di tali air Parit 8 Barat, Sungai Besar pada Rabu.
Misran Wahidon, 51, ditemui kira-kira jam 2.15 petang oleh orang awam dalam keadaan tertiarap di dalam parit berkenaan.
Adiknya, Siti Rumziah Wahidon, 36, berkata, Allahyarham Misran tidak pulang ke rumah selepas dipercayai menghadiri jamuan makan malam di rumah rakannya di Parit 8 Sungai Besar kira-kira jam 8.30 malam Selasa.
"Isteri arwah memaklumkan abang pergi jamuan makan dan tidak pulang ke rumah selepas itu.
"Saya cuba berkali-kali menghubungi arwah, tetapi tidak dapat dan risau tentang keselamatannya lebih-lebih lagi arwah ada penyakit kencing manis, darah tinggi dan asma," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Batu 38 di sini pada Khamis.
Siti Rumziah berkata, kehilangan arwah akhirnya terungkai selepas menerima kiriman gambar melalui sembang kumpulan aplikasi WhatsApp kira-kira jam 2.30 petang.
"Apabila saya teliti gambar itu, hati saya kuat mengatakan baju sejuk dan topi keledar merah di dalam gambar kepunyaan abang berhampiran parit.
"Hati saya tidak sedap sebaik menerima berita itu. Saya bergegas ke lokasi kejadian dan alangkah terkejut apabila menemui mayat abang sudah tertiarap.
"Seluruh badan saya jadi lemah sebaik tiba di tempat kejadian apabila menyaksikan sendiri abang kaku tidak bernyawa," katanya.
Jelasnya, kali terakhir dia menemui Allahyarham Misran yang bekerja sebagai pembantu kesihatan awam ketika menghadiri majlis perkahwinan anak saudara mereka di Bukit Katil, Melaka pada Sabtu lalu.
"Pemergian abang memang mengejutkan kami sekeluarga apatah lagi kami baru sahaja berjumpa dan saya dapati abang amat gembira sepanjang berada di sana (Melaka).
"Beberapa hari sebelum bertolak, arwah abang sering menghubungi saya dan bertanyakan ingin memakai pakaian sedondon semasa majlis anak saudara.
"Alhamdulillah tanpa perancangan kami mengenakan pakaian sedondon dan sempat bergambar bertiga buat kali terakhir," jelasnya sambil memberitahu arwah selalu singgah dahulu di rumah emaknya setiap pagi kecuali jika demam atau perkara tidak dapat dielakkan.
Siti Rumziah berkata, meskipun sebak dengan kejadian itu, namun dia reda kehilangan abang kedua daripada tiga beradik itu.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, kehilangan mangsa disedari seorang rakan sekerjanya pada jam 7 pagi Rabu.
Katanya, rakan tersebut pada mulanya menghubungi keluarga mangsa untuk memaklumkan ketidakhadiran mangsa di tempat kerja, namun terkejut apabila diberitahu mangsa tidak pulang ke rumah sejak Selasa.
Beliau berkata, rakan mangsa bersama rakan yang lain kemudian melalui jalan di Parit 8 ternampak topi keledar milik mangsa di dalam tali air terbabit.
"Semasa ingin memeriksa topi keledar tersebut, rakan mangsa ternampak mayat rakannya dalam keadaan tertiarap," ujarnya.
Katanya, siasatan awal polis di tempat kejadian menemui mayat dan topi keledar yang berada bersebelahan selain motosikal milik mangsa di dalam tali air kira-kira 400 meter dari lokasi mangsa dijumpai.
Beliau berkata, polis meminta bantuan bomba untuk membantu mengeluarkan mayat dan motosikal dari tali air.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam dan diserahkan kepada Jabatan Forensik Hospital Sabak Bernam untuk tujuan bedah siasat.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), namun siasatan kes masih dijalankan," katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!