Rayuan Najib batalkan kelayakan Sri Ram didengar 10 April

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) keluar dari Mahkamah Tinggi hari ini selepas sebutan semula tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. Foto: Bernama
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) keluar dari Mahkamah Tinggi hari ini selepas sebutan semula tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan kelayakan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai ketua pasukan pendakwaan dalam kesnya berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 10 April ini.

Ketika memaklumkan perkara tersebut kepada pemberita di sini, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Mustaffa P Kunyalam berkata rayuan bekas perdana menteri itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak membenarkan permohonannya agar perbicaraan kes berkaitan 1MDB digantung, juga akan didengar pada hari sama.

Timbalan Pendaftar Kanan Mahkamah Rayuan Yasmin Abdul Razak menetapkan tarikh tersebut semasa pengurusan kes berkenaan hari ini.

Peguam Syahirah Hanapiah hadir bagi pihak Najib.

Pada 1 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan Najib untuk membatalkan kelayakan Sri Ram yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan daripada mengendalikan kesnya berkaitan 1MDB.

Dalam keputusannya, hakim itu berkata tiada bukti menunjukkan Sri Ram akan berlaku berat sebelah dalam menjalankan tugasnya selaku Timbalan Pendakwa Raya Kanan bagi kes tersebut.

Hakim itu berkata Najib juga tidak berhak menuntut surat pelantikan Sri Ram serta menolak permohonan Najib untuk menggantung sementara perbicaraan kes tersebut yang dijadualkan dari 15 April hingga 3 Mei, sementara menunggu rayuan berhubung pembatalan kelayakan Sri Ram.

Pada 20 September 2018, Najib didakwa dengan empat pertuduhan menurut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Artikel Berkaitan:

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd, No. 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon antara 2011 dan 2014. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!