Pusat sehenti MIDA bagi pengembara perniagaan ditutup mulai 1 April

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat sehenti (OSC) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang ditubuhkan pada 2 Oktober 2020 untuk memudahkan pergerakan pengembara perniagaan akan ditutup secara berperingkat berkuat kuasa 1 April 2022.

Ini susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini bahawa Malaysia, dalam peralihannya ke fasa endemik Covid-19, akan membuka semula sempadan negara bagi pengembara antarabangsa termasuk pengembara perniagaan berkuat kuasa 1 April.

MIDA dalam satu kenyataan hari ini berkata ini merupakan langkah kehadapan yang positif memandangkan pengembara yang lengkap vaksin boleh memasuki Malaysia tanpa kelulusan terlebih dahulu daripada pihak berkuasa Malaysia dan tidak perlu kuarantin wajib semasa ketibaan.

Berikutan penutupan platform OSC bagi pengembara perniagaan jangka pendek yang memasuki Malaysia, pelabur tidak lagi perlu memohon kebenaran masuk dan pengecualian mandatori kuarantin ke platform OSC menerusi portal Safe Travel.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman berkata inisiatif yang diambil sebelum ini merupakan maklum balas pantas kerajaan semasa tempoh mencabar di seluruh dunia bagi memastikan daya saing dan ketersediaan Malaysia sebagai destinasi pelaburan tidak terjejas dan negara terus terbuka untuk menerima perniagaan meskipun ketika berdepan darurat kesihatan.

"Sepanjang operasinya, OSC dan Pusat Pengembara Perniagaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur telah membantu sejumlah 3,223 syarikat yang diluluskan untuk pengembara perniagaan jangka pendek, dengan anggaran nilai pelaburan sebanyak RM171.82 bilion,” katanya.

Menurut kenyataan itu, MIDA komited untuk bertindak responsif dalam melaksanakan inisiatif promosi pelaburan yang inovatif dan agresif sejajar dengan aspirasi pelaburan Malaysia ketika peralihan negara ke fasa endemik. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!