Resah struktur rumah tidak selamat

Noor Izatushima menunjukkan salah satu retak di dinding kediamannya.
Noor Izatushima menunjukkan salah satu retak di dinding kediamannya.
A
A
A

PASIR GUDANG - Resah, takut dan tidak selesa. Itu perasaan yang menghurung sanubari dua keluarga di Kampung Plentong Baru, selepas kediaman mereka hampir dimusnahkan ribut, bulan lalu.

Lebih malang, dua keluarga yang menghuni rumah pusaka peninggalan bapa mereka itu berada di ambang kemusnahan jika tidak dibaiki dengan cepat apabila 60 peratus daripada strukturnya kian runtuh.

Pemiliknya, Noor Izatushima Noor Zaini, 38, berkata, sejak berlakunya kejadian ribut pada 17 Februari lalu, keluarganya tidak senang duduk dan berada dalam keresahan kerana bimbang rumah didiami mereka itu mungkin runtuh secara tiba-tiba.

“Beberapa atap sudah diterbangkan, sekarang siling rumah sehingga ke dapur sudah roboh, ditambah lagi dinding rumah retak seribu. Memang saya bimbang sangat, tidak tahu berapa lama boleh bertahan.

Keadaan retak yang semakin melarat saban hari.
Keadaan retak yang semakin melarat saban hari.

“Dalam rumah ini ada dua keluarga, saya dan keluarga adik saya, kami malam sampai tidak tidur takut ada ribut lagi, memang kami tidak sempat nak keluar, nak berpindah kami mahu ke mana lagi?,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, hari ini.

Noor Izatushima berkata, masalah kewangan yang dialami sejak sekian lama pula telah membataskan keluarga mereka untuk membaiki rumah tersebut.

“Saya dan suami hanya bekerja sebagai penjual nasi lemak di sebelah pagi, pendapatan kami hanyalah RM30 bersih, kadang-kadang kurang tengok cuaca.

Artikel Berkaitan:

“Manakala adik saya, tidak boleh bekerja selepas menghidap penyakit buah pinggang dan mempunyai usus plastik sejak empat tahun lalu, kami tidak berdaya untuk mencari jalan lain membaiki rumah ini,” katanya.

Ditanya adakah kedua-dua mereka sudah membuat permohonan bantuan kepada pihak kerajaan berhubung isu itu, dia memberitahu pihaknya sudah beberapa kali berulang ke pejabat parlimennya namun masih tiada berita baik yang diterima.

Keadaan bumbung rumah yang semakin teruk selepas bencana ribut tersebut.
Keadaan bumbung rumah yang semakin teruk selepas bencana ribut tersebut.

“Saya ini dah puas berulang alik ke pejabat wakil rakyat (Parlimen Pasir Gudang) dan (DUN Permas), malah perkara ini juga saya ajukan kepada Parlimen Tebrau, sehingga sekarang tiada makluman dan tindakan susulan dilakukan.

“Sedih sebenarnya nak beritahu, saya dan keluarga hutang dengan orang sini sudah tidak boleh kira, belum cakap bil api dan air yang tertunggak, kami memang tidak mampu, ini kan pula nak baiki rumah.

“Rumah ini adalah tinggalan keluarga kami, pusaka, sayang sangat mahu tinggalkan macam ini, jadi sebab itu kami rasa hanya ihsan kerajaan sahaja yang mampu selesaikan, sebab kosnya bukan kecil,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyumbang atau memberikan bantuan boleh menghubungi Noor Izatushima di talian 013 7172964.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!