Dewan Negara lulus RUU Perlembagaan (Pindaan) 2022
KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 yang antara lain memperuntukkan ketidakpakaian Perkara 119 kepada Raja-Raja berhubung pendaftaran pemilih dengan sokongan lebih dua pertiga senator.
Rang Undang-undang yang dibentang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar itu diluluskan setelah melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 50 Ahli Dewan Negara bersetuju dan enam tidak hadir.
Ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu, Wan Junaidi berkata Perkara 119A dimasukkan bagi mengecualikan pemakaian Perkara 119 kepada Raja-Raja dan pasangan, Yang di-Pertua Negeri dan pasangan, bakal Raja, waris ganti dan waris lain Raja dan pasangan, dan mana-mana orang lain.
"Pendekatan pelaksanaan pindaan ini adalah wajar bagi memastikan Raja-Raja dan sebagainya kekal berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik,” katanya.
Menyentuh maksud pengecualian kepada "mana-mana orang”, beliau berkata ia diperuntukkan dalam Perkara baharu 119A yang dihasratkan merujuk kepada golongan kerabat Diraja sahaja yang difikirkan perlu oleh Yang di-Pertuan Agong dengan persetujuan Majlis Raja-Raja.
Sekiranya seseorang individu tidak lagi menjadi pasangan kepada Raja atau Yang di-Pertua Negeri, Wan Junaidi menjelaskan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri hendaklah memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya nama mantan pasangan berkenaan ke dalam sistem pendaftaran pemilih automatik.
Mengenai penglibatan secara aktif dalam politik bagi individu yang telah dikecualikan daripada mengundi, Wan Junaidi berkata perintah yang akan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja adalah hanya pengecualian pendaftaran pemilih secara automatik sahaja dan ia tidak menghalang penglibatan mereka dalam sebarang aktiviti politik.
Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 antara lain menghendaki seseorang warganegara yang mencapai umur 18 tahun dan layak untuk mengundi didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.
Usia minimum mengundi rakyat Malaysia direndahkan kepada 18 tahun berbanding 21 sebelum ini, selepas Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019 dan seterusnya oleh Dewan Negara pada 25 Julai 2019. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!