Kadar bayaran zakat fitrah Sabah kekal RM7

Bungsu menunjukkan jumlah kadar zakat fitrah bagi negeri Sabah pada tahun 2022 adalah sebanyak RM7 di Wisma MUIS, Kota Kinabalu pada Khamis.
Bungsu menunjukkan jumlah kadar zakat fitrah bagi negeri Sabah pada tahun 2022 adalah sebanyak RM7 di Wisma MUIS, Kota Kinabalu pada Khamis.
A
A
A

KOTA KINABALU - Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menetapkan kadar bayaran zakat fitrah tahun ini dikekalkan dengan jumlah RM7.

Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berkata, kadar zakat fitrah itu adalah berasaskan sukatan 2.7 kilogram beras yang dimakan oleh majoriti penduduk di Sabah ini.

"Saya sebagai mufti kerajaan Sabah mengisytiharkan bahawa kadar zakat fitrah adalah sebanyak RM7 sahaja ke atas setiap orang Islam yang bermastautin di negeri Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena pengisytiharan kadar zakat fitrah bagi negeri Sabah, di Wisma MUIS, di sini, pada Khamis.

Sementara itu, diminta mengulas prosedur operasi standard (SOP) solat tarawih di negeri ini, Bungsu berkata, umat Islam dibenarkan mengerjakan solat tarawih dengan kapasiti masjid secara penuh.

"SOP tarawih pada tahun ini alhamdulillah kita telah diberikan sedikit kelonggaran dengan membenarkan semua masjid di negeri ini dengan kapasiti yang penuh dan penjarakan sosial di masjid berdasarkan sejadah.

"Maksudnya sejadah yang lazim dipakai, tidak terlalu kecil atau besar, jadi itu setakat ini yang dibenarkan. MaknanyaaAlhamdulillah, saya fikir lebih daripada separuh kapasiti jemaah boleh masuk," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau memaklumkan dari segi saf jemaah adalah rapat namun tidak bertemu bahu serta kaki mengikut sejadah.

Artikel Berkaitan:

"Dari segi saf rapat tetapi tidak rapat sangat, tidak bertemu bahu dan tidak bertemu kaki sebab ikut sejadah yang dibawa masing-masing.

"Selain itu, kita di Sabah masih mengekalkan SOP sebelum ini yang penting lengkap menerima vaksin Covid-19, pemakaian pelitup muka dikekalkan dan tidak ada bersentuhan. Bersalaman atau berpelukan masih lagi dilarang," katanya.

Tambahnya lagi, bagi masjid yang ingin mengadakan moreh digalakkan membawa makanan secara berbungkus dan majlis tadarus al-Quran dengan masa yang dihadkan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!