Perkeso, MRC bekerjasama rangsang penglibatan tenaga kerja tempatan
KUALA LUMPUR - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Majlis Getah Malaysia (MRC) pada Khamis menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama merangsang pengambilan tenaga kerja tempatan dalam industri getah negara.
Insentif yang dilaksanakan melalui kerjasama strategik dua hala ini turut bermatlamat menyokong dan mengukuhkan lagi usaha kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan dalam industri berkenaan.
Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, menerusi kerjasama itu, Perkeso selaku penyedia perkhidmatan pekerjaan awam melalui portal MYFutureJobs dapat membantu merancakkan pasaran buruh negara menerusi tawaran pekerjaan kepada pencari kerja tempatan khususnya dalam industri getah.
Selain itu katanya, ia juga dapat meningkatkan bekalan tenaga kerja kepada majikan berdaftar di bawah MRC dan membantu menurunkan kadar pengangguran negara.
“Perkeso akan membantu mempromosi peluang kerjaya yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat di bawah MRC kepada orang ramai khususnya kepada pencari kerja aktif dari kawasan luar bandar. Ia merangkumi penganjuran aktiviti seperti sesi temu duga terbuka, program kebolehpasaran pekerjaan, webinar kerjaya, karnival pekerjaan dan sebagainya.
“Usaha ini akan disokong oleh inisiatif JaminKerja – Insentif Penggajian (JKIP) di bawah Bajet 2022, di mana majikan yang berdaftar di bawah MRC dan membuat pengambilan pekerja bermula 1 Januari 2022 layak untuk memohon dan menerima insentif kewangan JKIP ini.
“Di samping JKIP, Perkeso juga akan berusaha untuk merangsang para pekebun kecil untuk berdaftar dengan kami di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dengan menyediakan bantuan untuk membiayai pakej SKSPS mereka untuk tempoh masa tertentu.
“Inisiatif ini bertujuan meningkatkan perlindungan keselamatan sosial kepada individu bekerja sendiri yang berdaftar di bawah MRC,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
MoU tersebut ditandatangani Mohammed Azman mewakili Perkeso, manakala bagi pihak MRC ia diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nor Hizwan Ahmad.
Sementara itu, Nor Hizwan berkata, MRC juga memperkenalkan Dana Pengambilan Pekerja Tempatan (HMWF) pada tahun 2020 untuk mengalakkan penyertaan pekerja tempatan dalam industri getah.
“Memandangkan negara berada dalam fasa pemulihan selepas Covid-19, sudah tiba masanya untuk kita menyokong industri getah Malaysia, dengan menggalakkan majikan mengambil lebih ramai pekerja tempatan dan seterusnya mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing,” ujarnya.
Tambahnya, HMWF 2.0 yang telah ditambah baik ini akan melengkapi inisiatif Perkeso yang bukan sahaja dapat mengurangkan kadar pengangguran di negara ini, malahan membantu mengurangkan beban majikan dalam menghadapi masalah berkaitan pekerja asing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!