Hukum ambil rasuah, makan makanan haram adalah sama

Osman ketika Forum Khas bertajuk ‘Rasuah Nampak Senang di Dunia, Sengkek di Akhirat’ anjuran Sinar Harian pada Khamis.
Osman ketika Forum Khas bertajuk ‘Rasuah Nampak Senang di Dunia, Sengkek di Akhirat’ anjuran Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Hukum terhadap individu yang mengambil rasuah dan memakan makanan haram adalah sama daripada segi hukum syarak, kata Ketua Program Dakwah, Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH), Osman Sahalan.

Beliau berkata, terdapat sesetengah individu tidak mempunyai kefahaman yang jelas berkaitan hukum bagi kedua-dua amalan berkenaan.

“Semua orang tahu rasuah itu haram, tetapi ada segelintir kurang faham dengan melihat perkara haram itu cuma melibatkan makanan dan minuman sahaja,” katanya pada Forum Khas bertajuk ‘Rasuah Nampak Senang di Dunia, Sengkek di Akhirat’ anjuran Sinar Harian pada Khamis.

Forum Khas berkenaan diilhamkan bersempena buku Rasuah Nampak Senang Di Dunia, Sengkek Di Akhirat yang ditulis oleh Datuk Mohamad Din Yusoh.

Osman memberitahu jika rasuah diberikan untuk mendapatkan jawatan dengan cara yang salah maka hukumnya adalah haram bagi pemberi dan penerima.

Jelasnya, perkara sama juga berlaku sekiranya rasuah diberikan kepada hakim supaya menyebelahi pihak yang melakukan kezaliman.

"Sehubungan itu, semua pihak digesa supaya menjauhi amalan rasuah.

“Bagi mereka yang sudah terjebak ingatlah ALLAH SWT maha pengasih dan maha penyayang. Masih ada lagi ruang dan peluang untuk kita kembali kepada ALLAH SWT," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Osman berkata, pencegahan rasuah tidak boleh dilakukan secara individu.

"Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing.

“Kalau perkara ini dapat dilentur dari usia kecil lagi, maka kita dapat membina satu generasi yang bersih daripada rasuah pada masa akan datang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!