Peluang Koperasi PDRM tembusi sektor agrikomoditi
KUALA LUMPUR - Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM) menerusi anak syarikat Kop Mantap Berhad (KMB) menjalinkan kerjasama strategik bersama Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dan syarikat mega, Capital A Berhad.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kerjasama itu dapat membuka peluang kepada KMB menembusi sektor agrikomoditi (penanaman, penjualan, pemasaran, eksport dan latihan) selain merancakkan kembali industri penerbangan dan digital negara.
"KPDRM amat yakin kolaboratif ini akan memberikan sinergi dan impak yang positif berikutan kesemua pihak mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang masing-masing.
"Ini juga bakal membuka peluang untuk pegawai dan anggota PDRM menceburi bidang agrikomoditi terutamanya mereka yang bakal bersara agar dapat terus kekal aktif sekali gus menjana sumber pendapatan," katanya ketika berucap sempena Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) di Maktab PDRM, pada Khamis.
Acryl Sani berkata, kerjasama dengan Capital A Berhad pula memberi manfaat berganda kepada seluruh warga PDRM untuk menikmati tawaran harga istimewa dan eksklusif dengan penerbangan tanpa had.
"Pastinya, tawaran ini mampu menarik minat warga pasukan, khususnya bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga jauh serta mereka yang melancong," katanya.
MOU antara KPPK itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha KPPK, Datuk Ravi Muthayah manakala Capital A Berhad ditandatangani oleh Pengerusi Eksekutif Datuk Kamarudin Meranun.
Bagi pihak Kop Mantap Berhad, MOU tersebut telah ditandatangani oleh Pengerusi KPDRM, Datuk Ir Wan Nazri Wan Aria.
Hadir sama adalah Timbalan Menteri KPPK, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.
Sementara itu, Pengerusi KPDRM, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, kolaboratif yang terjalin bakal memberi manfaat kepada 114,020 anggota KPDRM yang mana bukan sahaja dapat menikmati tawaran harga istimewa tetapi juga mendapat manfaat berganda dengan pulangan dividen.
"Keistimewaan ini selaras dengan penubuhan KPDRM meletakkan kebajikan dan kesejahteraan anggota sebagai keutamaan.
"Pada tahun 2022 ini, KPDRM akan terus aktif mencari peluang menembusi lebih banyak industri yang mampu memberi keuntungan dan manfaat kepada PDRM," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!