Catatan Fatin Ilyana selepas tarikh kelayakan, pendaftaran: KOM
CATATAN masa 11.97 saat (s) dilakukan atlet pecut 100 meter (m) wanita Fatin Ilyana Mat Nayan pada Kejohanan Kuala Lumpur (KL) Allcomers baru-baru ini, adalah selepas tarikh akhir kelayakan dan pendaftaran ke Sukan SEA Hanoi di Vietnam, Mei depan.
Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk S. M. Muthu berkata, tarikh akhir kelayakan ke temasya sukan dwitahunan itu adalah pada 6 Mac, sementara tarikh akhir pendaftaran yang ditetapkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) adalah pada 11 Mac.
Justeru, katanya KOM tidak dapat menyenaraikan atlet berusia 19 tahun itu di dalam skuad 4x100m wanita negara yang akan beraksi di Hanoi, kerana kejohanan KL Allcomers berlangsung pada 26-27 Mac.
"Bagi KOM, sebarang pencapaian yang dicipta dalam Kejohanan FT Allcomers tidak boleh diambil kira kerana tarikh kelayakan tamat pada 6 Mac dan tarikh pendaftaran terakhir MOM pada 11 Mac.
"KOM menghargai pencapaian atlet Fatin Ilyana dan akan mengambil kira untuk kejohanan-kejohanan yang lain,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.
Sementara itu, Muthu berkata, Jawatankuasa Pemilihan KOM telah mendaftar seramai enam atlet bagi merebut lima slot untuk membentuk kuarter 4x100m wanita negara, namun nama Fatin Ilyana tidak berada dalam senarai tersebut.
"Pada 26 Mac, keenam-enam atlet yang telah didaftar harus menyertai kejohanan FT Allcomers untuk memilih lima terbaik. Dalam kejohanan itu, Fatin Ilyana didaftar oleh jurulatih peribadi beliau dan telah mencatat masa 11.97s dalam acara 100m,” katanya.
Sebelum ini, jurulatih skuad pecut negara M. Balamurugan menyatakan kekecewaan dengan keputusan KOM, yang tidak menyenaraikan Fatin Ilyana ke Sukan SEA Hanoi dijadual berlangsung 12 hingga 23 Mei ini.
Balamurugan berkata, berdasarkan prestasi semasa, Fatin Ilyana layak berada dalam kuartet 4x100m wanita apabila muncul antara empat pelari mencatatkan keputusan terbaik peribadi, pada Kejohanan KL Allcomers.
Isu tersebut juga tular di media sosial dengan rata-rata peminat sukan olahraga mempertikaikan keputusan dibuat KOM, sebelum turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Pada masa ini, KOM menyenaraikan Azreen Nabila Alias yang mempunyai catatan terbaik semasa dalam tempoh kelayakan iaitu 11.77s, Zaidatul Husniah Zulkifli (11.96s), S. Komalam Shally (12.01s), Siti Fatimah Mohamad (12.10s) dan Nur Aishah Rofina Aling yang melakukan 12.10s. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!